suria

Zaid Gagal Bawa Perubahan di KB - Tok Pa

KOTA BARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, masyarakat Hulu Selangor akan berada dalam kerugian sekiranya mereka memilih calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Ini kerana, kata Mustapa, Zaid telah terbukti gagal membawa perubahan kepada Kota Baru semasa beliau menjadi ahli parlimen kawasan itu pada tahun 2004.

Menurut Mustapa, beliau telah mengenali Zaid lebih dari tujuh tahun dan “saya tidak nampak bagaimana beliau akan membawa sebarang perubahan kepada Hulu Selangor sedangkan beliau gagal membawa perubahan kepada Kota Baru.”

“Bagaimanapun saya tidaklah berkata yang dia tidak berguna langsung tetapi jika hendak dibandingkan dengan P.Kamalanathan (calon Barisan Nasional), calon BN jauh lebih baik dari Zaid,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menambah, para pengundi di Hulu Selangor harus berhati-hati dalam memilih wakil rakyat mereka dan mereka juga mestilah menyedari akibatnya jika memilih calon yang salah.

Kata Mustapa, adalah penting untuk para pengundi mengetahui siapa yang bakal mereka pilih sebagai wakil rakyat apatah lagi jika memilih wakil rakyat yang telah terbukti gagal sebelum ini.

Sedangkan kata Mustapa pada masa yang sama, para pengundi tahu siapakah calon tempatan yang berasal dari kawasan mereka dan lebih dekat dengan mereka.

“Pendek kata para pengundi di Hulu Selangor patut memilih seseorang yang mereka kenali secara dekat dan bukannya orang luar yang tak akan memahami isu tempatan dan masalah yang mereka hadapi seharian,” ujarnya lagi.

Artikel Lain