suria

Adab Penentu Jatuh Bangun Pemimpin, Bangsa Dan Negara : Raja Nazrin

KUALA KANGSAR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah adab adalah penentu kepada jatuh bangun seseorang pemimpin, bangsa dan sesebuah negara kerana ia memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan, tetapi oleh kriteria yang terkandung di dalam Al-Quran daripada segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.

Baginda bertitah pada masa sekarang elemen kurang beradab hingga mencetuskan berlakunya kelakuan tidak beradat semakin sehari semakin ketara dan lebih memalukan ia dilakukan oleh orang dewasa yang berjawatan besar, penting, berpendidikan tinggi dan professional.

Titah baginda kelakuan itu bukan berlaku di tepi jalan atau di pasar tetapi turut berlaku di tempat yang sepatutnya mencerminkan setinggi tertib dan sehalus budi.

"Bagaimanakah rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti jika elemen adab dan adat sudah tidak lagi ada di kalangan warganya.

"Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju, sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin dengan adat," titah baginda pada istiadat menghadap sembah setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun ke-82 keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini semalam.

Titah baginda adab dikaitkan dengan pendidikan manusia yang luhur yang mana apabila kuasa dan sumber diuruskan oleh individu yang tidak memahami idea induk, maka akan berlakulah penyalahgunaan kuasa, pembaziran sumber dan diikuti suasana kekeliruan intelek serta moral.

"Salah urus sumber mengakibatkan berlakunya kemiskinan yang berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting," titah baginda sambil menjelaskan bahawa adab merangkumi elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih sayang serta sifat menghormati ibu bapa, menghormati orang tua, menghormati kanak-kanak, menghormati jiran tetangga dan menghormati pemimpin.

Baginda bertitah dalam kebatasan pemikiran, pengetahuan serta pengalaman, adalah penting bagi negara, masyarakat dan individu untuk memberikan perhatian utama kepada elemen adab dan adat dalam program membangunkan modal insan supaya rakyat dapat dibangunkan secara seimbang agar negara tidak berjalan tempang.

Menurut Raja Nazrin, Raja-raja Melayu telah terpahat di tinta sejarah sebagai raja yang berdaulat dan kerajaan berpaksikan raja itu telah membina tamadun negara bangsa, melaksanakan sistem pemerintahan yang membawa kemakmuran yang dapat dinikmati oleh rakyat pribumi begitu juga dagang dan senteri yang telah memilih berhijrah ke bumi ini serta bersedia untuk berada di bawah naungan pemerintahan dan adat resam pemerintahan raja-raja Melayu.

"Raja-raja Melayu itu amatlah besar peranannya dalam menentukan rupa bentuk warga juga dalam menetapkan identiti negara bangsa, berperanan sangat berpengaruh dalam menyebar dan menerapkan ajaran Islam khususnya di kalangan warga berketurunan Melayu," titah baginda.

Baginda bertitah raja-raja Melayu telah memperkenalkan sistem pemerintahan yang berlandaskan adab dan tertib yang berjaya membina satu budaya yang halus dan satu tamadun yang tinggi.

Dalam mempersembahkan ucapannya pula, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau dan barisan kepimpinan kerajaan negeri berjanji akan tetap memelihara suasana aman dan tenteram serta kondusif bagi meneruskan agenda pembangunan rakyat dan negeri.

Beliau berkata pada sidang Dewan Negeri baru-baru ini, barisan kepimpinan negeri telah menyeru pihak pakatan pembangkang supaya tidak keterlaluan menimbulkan sengketa yang kelak membawa padah kepada kesejahteraan hidup rakyat.

"Politik permusuhan dan kebencian yang tidak berkesudahan dan tidak membawa sebarang kebaikan perlulah dikendurkan," katanya.

Beliau berkata suasana harmoni dan kondusif di Perak dan kepentingan rakyat tidak harus dibiarkan menjadi korban persengketaan politik bagi memenuhi cita-cita sempit pihak tertentu.

Pada istiadat itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului senarai penerima dengan dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Teramat Dimulia (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Turut menerima anugerah kebesaran hari ini ialah Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri serta tiga penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Orang Besar Jajahan Hilir Perak Datuk Mohd Amin Shukeri Ali Akbar. - BERNAMA

Artikel Lain