suria

Abu Seman Akan Pantau Siasatan Kes Tembak Remaja 15 Tahun

KAJANG: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman akan memantau penyiasatan kes kematian remaja 15 tahun, Aminul Rasyid Amzah yang ditembak oleh polis dalam satu kejadian di Shah Alam pada Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Timbalannya itu akan memantau perjalanan siasatan kes tersebut untuk memastikan siasatan dijalankan dengan telus.

"Sudah tentu saya terkejut dengan kejadian itu. Tetapi saya tidak akan membuat sebarang penilaian sehingga semua siasatan selesai.

"Saya juga mohon orang ramai tidak membuat spekulasi dan mendengar komen yang tidak berdasarkan kebenaran.

"Timbalan saya akan memantau siasatan kes dan akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus supaya umum dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Ahli Lembaga Hakim Pelawat Jabatan Penjara Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, ibu Aminul, Norsiah Mohamad, 65, menegaskan anaknya bukan seorang penjenayah dan meminta pihak polis membuat siasatan yang telus dan adil terhadap kematian anaknya.

Katanya, siasatan itu bukan sahaja untuk membersihkan nama anaknya malah untuk memastikan kejadian sama tidak berlaku kepada orang lain.

"Saya tahu siapa anak saya, dia bukan penjenayah seperti yang dilaporjan media," katanya pada sidang media di rumahnya di Seksyen 11, Shah Alam semalam.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah anak perempuannya, Nor Azura dan Tudy Shahniza Anam serta menantunya Muzafar Mahali.

Muzafar yang juga pemilik Proton Iswara yang dipandu oleh Aminul semasa kejadian memberitahu pihak polis telah menyoalnya pada Ahad mengenai kereta yang digunakan oleh isterinya sebelum kejadian.

Katanya, dia menyedari keretanya digunakan oleh mangsa selepas pihak polis memaklumkan padanya mengenai kejadian dan isterinya tidak mengetahui adiknya mengambil kereta itu.

"Kami percaya Aminul panik apabila ternampak kereta polis itu dan dia tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan yang telus dan teliti akan dijalankan terhadap kes berkenaan.

Pada kejadian pagi Isnin lalu, Aminul telah ditembak mati apabila dia secara tiba-tiba mengundurkan keretanya ke arah anggota polis yang menahan keretanya di seksyen 11.

Kejadian yang berlaku pada pukul 2 pagi apabila Amuinul dipercayai memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah sebelum berjaya ditahan oleh kereta peronda polis.

Rakannya yang turut berada dalam kenderaan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum dia tiba-tiba mengundurkan keretanya ke arah polis dalam cubaan melarikan diri.

Salah seorang daripada anggota polis itu telah melepaskan empat das tembakan yang salah satunya terkena pada mangsa dan menyebabkan Aminul mati di tempat kejadian.

Artikel Lain