KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berumur 12 tahun dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Taman Samudera, Batu Caves dekat sini sejak 17 April lalu.Mazlan Ibrahim, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Taman Selaseh itu pada mulanya dikatakan mahu berjumpa rakannya pada sebelah tengah hari di sebuah pasar raya besar di Batu Caves. Dia lalu dihantar oleh bapanya Ibrahim Muhamamad, 45, ke pasar raya itu yang terletak kira-kira 700 meter dari apartmen mereka.Namun sejak itu, dia tidak pulang-pulang ke rumahnya.Keluarganya yang cuba menghubungi telefon bimbitnya gagal mendapat sebarang jawapan. Ibrahim berkata, anak keduanya dari tiga beradik itu dipercayai telah diculik berikutan ada seorang jirannya yang ternampak kanak-kanak itu menaiki lori di pasar raya berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki."Mazlan beritahu dia hendak bertemu rakannya di pasar raya tersebut, bagaimanapun apabila dia tidak pulang ke rumah malam itu, kami hubungi telefon bimbitnya, dia mengatakan dia bersama rakannya dan akan pulang ke rumah dengan segera."Bagaimanapun dia tetap tidak pulang. Selepas itu banyak kali kami cuba hubunginya tetapi gagal kerana telefonnya tidak berjawab sebelum dimatikan," katanya kepada pemberita di kediamannya di Apartmen Casmaria hari ini.Beliau berkata, kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis tersebut turut tidak dapat membantu mengesan anaknya kerana kamera tersebut difokuskan ke kawasan lain, bukan di kawasan Mazlan dikatakan menaiki lori tersebut."Jiran saya yang kebetulan berada di pasar raya itu mendakwa melihat Mazlan menaiki lori terbabit. Saya tidak tahu siapa pemandu lori itu dan mengapa Mazlan menaiki lori tersebut," katanya.Beliau berkata, selama lima hari menunggu kepulangan anaknya serta mencarinya di kawasan berhampiran, akhirnya beliau membuat laporan polis pada 22 April.Katanya ketika keluar rumah, Mazlan memakai kemeja T berwarna merah dan berseluar jeans dengan hanya membawa wang tunai RM5 yang diberinya."Anak saya tiada masalah disiplin dan telah beberapa kali dia bermalam di rumah rakannya tetapi selalunya dia pulang selepas dua atau tiga hari selepas itu. Kami sudah mencari dia di rumah rakan-rakannya tetapi gagal menemuinya."Ini tempoh paling lama dia tidak pulang ke rumah dan tanpa khabar berita. Kami sekeluarga tidak lena tidur apabila memikirkan di mana Mazlan berada," kata Ibahim dan menambah isterinya Darisah Ramli, 43, asyik menangis sejak kehilangan anak mereka.Ibrahim merayu kepada orang ramai yang mengetahui di mana anaknya berada supaya memulangkan semula kanak-kanak itu ke pangkuan mereka.Beliau boleh dihubungi menerusi talian 012-6659341. - BERNAMA