suria

Asean Tidak Akan Menjadi Seperti NATO - Zahid

KOTA TINGGI: Asean tidak akan menjadi blok ketenteraan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini. Menurut beliau, walaupun negara anggota Asean mempunyai kekuatan ketenteraan, tetapi fokus utamanya adalah lebih untuk bekerjasama mempertahankan rantau ini daripada sebarang ancaman.

"Menteri-menteri pertahanan Asean komited untuk menjalin kerjasama yang erat di dalam menjamin keamanan di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan latihan penembakan peluru berpandu bumi ke udara oleh Grup Artileri Pertahanan Udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lapang Sasar Tanjung Logok di sini.

Blok ketenteraan NATO ditubuhkan ketika Perang Dingin yang memuncak di antara blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan negara Eropah Barat dengan negara-negara Pakatan Warsaw yang diketuai oleh Soviet Union dan beberapa negara Eropah Timur serta Asia Tengah.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama yang lebih erat di antara tentera negara-negara Asean juga dapat menjimatkan kos di dalam penghasilan pelbagai produk ketenteraan.

Katanya, negara Asean bergantung kepada Eropah dan beberapa negara lain bagi mendapatkan barangan ketenteraan mereka dan jika produk tersebut dapat dikilangkan di negara rantau ini ia dapat mengurangkan pengaliran keluar mata wang asing ke luar. "Pembuatan produk pertahanan di negara-negara Asean juga dapat mempertingkatkan pemindahan teknologi di antara negara pengguna dan negara pembuat," kata beliau.

Ahmad Zahid juga berkata, latihan bersama di antara ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan negara luar terutamanya di dalam Asean akan dipertingkatkan, manakala lebih ramai anggota tentera negara dihantar menjalani latihan bersama negara sahabat yang lain.

Ditanya mengenai rancangan untuk menghantar pasukan perubatan ATM ke negara bergolak Afghanistan, beliau berkata, pihaknya masih menunggu isyarat yang jelas darpada Kabul tentang penghantaran pasukan perubatan Malaysia itu.

Buat permulaan, katanya, ATM berkemungkinan menghantar sepasukan 60 orang anggota perubatan ke Afghanistan di dalam misi kemanusiaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain