suria

Warga Zambia Diarah Bela Diri Pertuduhan Edar Dadah

PULAU PINANG: Seorang lelaki warga Zambia diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengedar 159.82 gram heroin dan 26.1 gram monocetylmorphines kira-kira empat tahun lepas oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurmala Salim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Kasanda Emanuel, 27.

Beliau menetapkan 21 Jun sebagai tarikh untuk tertuduh membela diri.

Dalam penghakimannya, Nurmala berkata berdasarkan keterangan tujuh saksi pendakwaan, tertuduh tahu kesalahan membawa masuk dadah ke negara ini dan jumlah yang dibawa bukan untuk kegunaan sendiri sebaliknya untuk dijual.

Kesemua dadah itu didapati diisi dalam 37 bungkusan getah berbentuk bujur yang telah ditelan oleh tertuduh dan dikeluarkan selepas dia membuang air besar di tandas Ibu Pejabat Polis Daerah, Balik Pulau antara pukul 1.30 tengah hari hingga 7.50 malam, 14 Okt 2006.

Kasanda ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan pada 7 malam, 13 Okt, 2006.

Kasanda yang bekerja sebagai juruelektrik di negaranya didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer dan pendakwan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusairi Amir Abdul Karim. - BERNAMA

Artikel Lain