NUSAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kira-kira 77 peratus daripada tenaga kerja negara hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya.Beliau berkata, keadaan ini pastinya tidak selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. Menurutnya, jika soal jurang pendidikan itu tidak ditangani dengan serius, Malaysia tidak akan mempunyai tenaga kerja yang cukup dari aspek pendidikan mahupun persediaan, untuk bekerja dalam industri berdaya maju yang sedang diusahakan negara. Beliau berkata demikian semasa melancarkan portal MYWorkLife Talent Khazanah Nasional di Puteri Habour di sini hari ini. Najib seterusnya merujuk kepada pengumuman syarikat Western Digital Malaysia baru-baru ini untuk melabur USD1.2 bilion dalam negara, membabitkan pembinaan bangunan pencakar langit dengan keluasan 1.5 juta kaki persegi khusus untuk kemudahan penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran komponen media serta pemacu cakera keras. Menurutnya pelaburan itu mewujudkan sehingga 10,000 pekerjaan tambahan, kebanyakannya membabitkan pekerja yang memiliki kelulusan tinggi, sekurang-kurangnya 100 berkelulusan Phd, dan 1,000 berkelulusan ijazah."Apa yang digambarkan oleh angka ini mengenai negara? Ia menunjukkan bahawa negara tidak melahirkan modal insan yang cukup dari segi kualiti dan kuantiti untuk memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inivatif," katanya.Perdana Menteri berkata, sebagaimana yang digariskan oleh Model Ekonomi Baru, beberapa faktor utama adalah penting dalam usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang dapat mengharungi cabaran di masa akan datang. "Negara perlu meningkatkan kemahiran pekerja tempatan sepanjang masa, membekalkan semula tenaga kerja sedia ada dengan kemahiran yang diperlukan dan memperolehi akses kepada kemahiran tempatan serta global, supaya pendapatan perkapita negara dapat ditingkatkan daripada US$7,000 (RM23,345) kepada US$15,000 (RM50,000) menjelang 2010," katanya.Bidang yang boleh ditimbangkan untuk dikaji semula supaya dapat menarik minat rakyat Malaysia dan pekerja asing yang berpengalaman untuk menyumbang kemahiran di Malaysia termasuk:- Melonggarkan peraturan berkaitan status pemastautin tetap buat bekas rakyat Malaysia dan keluarga mereka, di samping warga asing.- Memusatkan tumpuan terhadap pekerja asing dan ekspatriat bagi membolehkan dasar-dasar berkaitan pemastautin diuruskan dengan lebih berkesan.- Membina kumpulan profesional mahir yang besar menerusi pengeluaran permit kerja dan prosedur imigresen yang lebih mudah.- Berterusan meliberalisasi sektor perkhidmatan profesional.Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar. - BERNAMA