suria

Peniaga Burger Dipenjara, Sebat Kerana Miliki Ganja

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan 10 sebatan terhadap seorang peniaga burger yang mengaku bersalah memiliki ganja seberat 218 gram, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sufian Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Yusuf, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohd Sufian memerintahkan hukuman terhadap Muhammad itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 22 Julai 2009.

Muhamad yang diwakili peguam Rosal Azimin Ahmad, mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah warung makan di Kampung Cempedak, Sentul Pasar di sini pada 6.45 petang, 22 Julai tahun lalu.

Sebelum ini, tertuduh yang memiliki dua anak, minta dibicarakan atas pertuduhan mengedar dadah semasa dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada 29 Jan lepas mengikut Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuannya hari ini selepas pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Faizah Ismail meminda pertuduhan daripada Seksyen 39B kepada Seksyen 39A. - BERNAMA

Artikel Lain