suria

17 Pelajar Agama Terima Biasiswa 1MDB Untuk Pengajian Perubatan Di Mesir

PUTRAJAYA: Seramai 17 pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) menerima surat tawaran biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM5.1 juta bagi tempoh enam tahun.

Surat tawaran itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di pejabatnya di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam ucapannya, Najib berkata biasiswa yang julung kali diberikan itu berjumlah RM50,000 seorang setahun bagi pelajar berkenaan melanjutkan pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan di Mesir.

Katanya pemberian biasiswa itu merupakan komitmen kerajaan untuk mengotakan janjinya ketika mengumumkan pemberian biasiswa tersebut ketika majlis perjumpaan Ulama dan Umara Februari lepas.

"Selepas mengumumkan pemberian biasiswa ini, lebih 500 pelajar yang memohon dan ini satu permintaan yang luar biasa. Tetapi setakat ini, kita hanya dapat beri kepada 17 pelajar yang cemerlang.

"Saya akan lihat tahun hadapan, jika ada rezeki, kita akan tambah dana untuk tujuan ini," katanya.

Biasiswa itu merupakan kerjasama antara 1MDB milik kerajaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jakim bertanggungjawab meneliti pemilihan itu, memantau dan mengurus biasiswa itu manakala peruntukan datang dari tanggungjawab sosial korporat syarikat itu, Yayasan 1MDB. Perdana Menteri berkata pemberian biasiswa itu menunjukkan keprihatian dan komitmen tinggi kerajaan dalam mengiktiraf dan menghargai pelajar aliran agama dalam meneruskan pengajian mereka dalam bidang perubatan.

"Di samping itu, saya juga sedar kita perlu beri satu lagi pilihan, selain menjadi kadi, hakim dan pegawai-pegawai agama kepada pelajar lulusan agama yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang yang amat penting dan kritikal," katanya.

Najib berkata para pelajar yang terpilih itu mempunyai peluang keemasan untuk menjadi kumpulan Ulul-Albab yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan disamping mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam agama.

Katanya ia adalah satu tuntutan yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam sepertimana yang disebut sebanyak 16 kali dalam Al-Quran serta dalam usaha untuk membangunkan sebuah tamadun Islam yang berjaya.

Beliau berkata dengan melahirkan doktor yang menepati konsep Ulul-Albab, dapat membantu kerajaan melakukan transformasi besar kepada ummah dan negara.

Beliau berkata biasiswa itu sangat besar ertinya bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada setiap pelajar dalam usaha kerajaan melahirkan lebih ramai doktor di dalam negara.

"Kerajaan berhasrat mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi 600 pesakit menjelang 2020 berbanding 1: 1,145 pada masa sekarang," katanya.

Najib berkata pemberian biasiswa itu juga boleh diperluaskan kepada bidang-bidang tertentu yang lain seperti perbankan Islam yang juga diperlukan untuk negara.

"Saya harap para pelajar hargai biasiswa ini kerana anda semua adalah kumpulan terpilih dan sangat beruntung untuk meneruskan pengajian menjadi doktor dan seorang yang menepati konsep Ulul-Albab.

"Saya doakan setiap pelajar akan berjaya dengan cemerlang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain