SHAH ALAM: Dua ahli perniagaan hari ini memfailkan permohonan untuk mengetepikan satu penghakiman Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan mereka membayar RM848.14 juta kepada sebuah syarikat pengeluar hasil kayu kayan ekoran pembatalan kelulusan projek mengusahakan bekalan mentah pokok akasia di Kamasul, Pahang.Datuk Hamid Man, 67, dan Datuk Abu Bakar Rahmat, 48, memfailkan permohonan itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq. Hamid dan Abu Bakar merupakan defendan-defendan dalam kes tuntutan saman berjumlah RM848.14 juta yang difailkan oleh Kaohsiung Timber Products Sdn Bhd (KTP).Pada 2007, KTP memfailkan saman terhadap Hamid dan Abu Bakar bagi menuntut RM848,144,000 iaitu ganti rugi unjuran pendapatan, ganti rugi am, ganti rugi khusus, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah kerana mendakwa kedua-dua mereka telah mensabotaj KTP daripada memperoleh projek berkenaan.Pada 9 April lepas, akhbar melaporkan kenyataan peguam, yang mewakili KTP, bahawa Mahkamah Tinggi di sini menolak pernyataan pembelaan kedua-dua defendan dan mereka diperintahkan untuk membayar RM848.14 juta kepada KTP.Peguam plaintif dilaporkan sebagai berkata keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaleha Yusof di dalam kamarnya.Hamid dan Abu Bakar kemudian menerima penghakiman bermeterai bertarikh 11 Mei 2010 yang mengarahkan mereka membayar kepada Kaohsiung Timber Products antara lain, wang berjumlah RM748.14 juta sebagai ganti rugi am dan ganti rugi pendapatan masa hadapan akibat pembatalan kelulusan projek itu dan wang RM100 juta sebagai ganti rugi khusus, teruk dan teladan.Perintah itu ditandatangani dan disahkan oleh seorang Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Mei 2010.Sehubungan itu, Hamid dan Abu Bakar memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman itu kerana mendakwa ia tidak sah dan terbatal berikutan tidak mengikuti prosedur sedia ada di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.Dalam afidavit sokongannya, Hamid berkata peguam mereka menghantar satu surat bertarikh 26 Mei 2010 kepada setiausaha Zaleha dan peguam plaintif bagi membantah penghakiman bermeterai itu.Hamid mendakwa Zaleha pada 9 April lepas tidak mengeluarkan perintah seperti yang dinyatakan dalam penghakiman bermeterai bertarikh 11 Mei 2010 itu, tetapi hanya menolak pernyataan pembelaan mereka di dalam prosiding saman dengan kos.Terdahulu, Hamid dan Abu Bakar diiringi peguam Datuk Haaziq Pillay membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini, meminta supaya satu siasatan dibuat bagaimana firma guaman Tetuan Azlinda Baroni & Co yang mewakili KTP boleh memperoleh penghakiman bermeterai yang dikatakan dibuat oleh Zaleha pada 9 April lepas. - BERNAMA