suria

Anda Tidak Bersendirian - Anifah

AMMAN: Rentetan percubaan aktivis untuk melepasi kepungan di laut Gaza yang berakhir dengan insiden tragis awal minggu ini, Malaysia mempunyai pesanan ini untuk penduduk Gaza dan rakyat Palestin: "Anda tidak bersendirian".

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan Malaysia tidak akan menghalang pertubuhan bukan kerajaannya (NGO) daripada menghulur bantuan kepada rakyat Palestin atau mereka yang berada dalam kesukaran di mana-mana tempat di dunia ini.

"Ini adalah usaha murni dan kita harus berasa bangga terhadap mereka yang melakukannya," katanya kepada BERNAMA di sini pada Khamis. Beliau sebelum itu membuat kunjungan ke atas Pengelola Istana Nasser Lozi dan bertemu rakan sejawatannya dari Jordan, Naseer Judeh.

Anifah berada di ibu negara Jordan bagi menguruskan persiapan membawa pulang 12 rakyat Malaysia termasuk dua warga media, yang berada di atas kapal bantuan kemanusiaan Turki yang dirampas oleh Israel pada Isnin lepas.

Mereka dibebaskan pada Rabu dan dijadualkan berlepas ke Istanbul hari ini untuk meneruskan perjalanan pulang ke tanahair.

Menurut Anifah, Raja Jordan Raja Abdullah II sendiri yang menitahkan Menteri Luar Jordan agar membantu rakyat Malaysia yang ditangkap oleh Israel dalam insiden di perairan antarabangsa itu yang turut menyaksikan beberapa orang terbunuh.

"Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, saya melahirkan penghargaan kepada Raja Jordan," kata Anifah mengulas mengenai perbualannya dengan Lozi.

Anifah berkata, penghargaan rakyat dan kerajaan Malaysia juga disampaikan beliau kepada Judeh di atas usaha-usaha membawa keluar kesemua 12 orang itu dari Israel ke Jordan.

"Saya percaya tanpa bantuan Jordan, kumpulan tersebut tidak akan dibebaskan secepat itu," kata Anifah.

Kedua-dua negara katanya, bersetuju akan perlunya membawa Israel ke muka pengadilan di atas serangan maut terhadap kapal 'Mavi Marmara' itu.

"Kami juga mahu Amerika menjadi orang tengah yang jujur di Timur Tengah," katanya.

Menjawab satu soalan, Anifah berkata, Malaysia memuji inisiatif NGO negara atau negara-negara lain yang membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

"Israel mungkin meragui niat mereka tetapi saya percaya mereka ikhlas dalam menghulurkan bantuan," katanya.

Artikel Lain