suria

Aktivis Mak Yong Minta Kelantan Kaji Semula Larangan Persembahan

JELI: Seorang penggiat makyong terkenal di Kelantan meminta kerajaan negeri itu mengkaji semula larangan persembahan kesenian tersebut yang terkandung di dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.

Rohani Mat Zain, 55, yang dianggap sebagai primadona makyong selepas era Allahyarham Khadijah Awang berkata ini kerana persembahan kesenian itu tidak lagi mengamalkan aspek pemujaan seperti sebelum ini.

"Kami kini sudah memulakan persembahan dengan membaca doa selamat dan tidak lagi ada unsur pemujaan seperti dulu.

"Cuma kami akui artis yang mempersembahkan teater makyong ini adalah campuran lelaki dan perempuan bagi menghidupkan watak-watak tertentu dan juga pemuziknya adalah lelaki," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sejak PAS mentadbir Kelantan pada 1990, beberapa persembahan kebudayaan negeri itu beransur-ansur dilarang daripada dipersembahkan secara terbuka kerana didakwa mengandungi unsur khurafat serta melibatkan pergaulan lelaki dan perempuan.

Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi peresembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.

Namun selepas pengubahsuaian beberapa persembahan seperti wayang kulit , tinju siam termasuk snuker telah kembali dibenar diadakan secara terbuka di negeri itu.

Makyong antara kebudayaan Kelantan tertua di negeri itu yang telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli meminta kerajaan Kelantan melonggarkan syarat persembahan kesenian makyong di Taman Budaya Negeri apabila pusat kesenian pertama di Kelantan yang bernilai RM15 juta itu siap dan beroperasi sepenuhnya September ini.

Norliza dilapor berkata jika syarat itu tidak dilonggarkan ianya akan membantutkan usaha pihak jabatan untuk mengetengahkan kesenian tersebut sebagai warisan dunia.

Mengulas lanjut, Rohani berkata sebagai warisan dunia, makyong tidak seharusnya sepi di tempat sendiri sedangkan di negara luar persembahan kebudayaan itu dikagumi masyarakat antarabangsa.

Pernah mengadakan persembahan di beberapa negara asing, Rohani yang kini mengetuai Kumpulan Warisan Sari menyatakan kesanggupannya untuk bertemu sendiri Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu.

"Saya sanggup bertemu Datuk Nik Aziz bagi menyatakan harapan kami agar persembahan ini dibenar dipentaskan secara terbuka dan menarik semula larangan itu," katanya.

Beliau juga bimbang persembahan itu akan pupus memandangkan ada ibu bapa melarang anak-anak mereka daripada mempelajari seni tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain