TEMERLOH: Wanita Umno mengambil pendekatan menyediakan tabung bagi membantu golongan ibu tunggal yang masih belum mendapat nafkah daripada bekas suami mereka.Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim berkata bantuan yang diberikan menerusi tabung itu bersifat sementara sehingga menunggu Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah terhadap bekas suami mereka supaya memberikan nafkah bulanan kepada golongan berkenaan. "Peruntukan daripada tabung ini akan dapat meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu tunggal selepas diceraikan suami mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan dan Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Temerloh, dekat sini hari ini.Beliau berkata setakat ini tabung berkenaan telah membantu lebih 300 ibu tunggal di seluruh negara.Kamilia juga meminta ibu tunggal dan isteri yang dalam proses menunggu perintah Mahkamah Syariah terhadap tuntutan nafkah anak-anak supaya menghubungi Wanita Umno cawangan dan bahagian untuk mendapatkan bantuan berkenaan."Terdapat ramai ibu tunggal yang perlu dibantu kerana mereka tidak ada tempat untuk mengadu. Justeru, kita berharap pemimpin Wanita Umno cawangan dan bahagian bertindak proaktif untuk mengesan ibu-ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata lebih 70 peratus isteri yang diceraikan atau ditinggalkan suami mereka tidak mempunyai tempat tinggal.Katanya, melalui aduan yang diterima Biro Aduan Wanita Umno, anak-anak yang menjadi mangsa penceraian atau ditinggalkan bapa mereka terabai dari segi makanan, perumahan, pendidikan dan kesihatan. - BERNAMA