PUTRAJAYA: Seorang penceramah pada taklimat tentang ancaman dan pengrekrutan Jemaah Islamiah (JI) di institut pengajian tempatan baru-baru ini, menafikan dakwaan bahawa beliau mengaitkan nama beberapa tokoh dengan pengganas.Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin berkata, dalam taklimatnya, beliau hanya memberi fokus kepada unsur-unsur fahaman yang boleh membawa kepada pemikiran terrorisme agama. Katanya pembentangan yang dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin adalah atas jemputan kementerian itu dan perakuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Turut hadir naib-naib canselor universiti seluruh negara."Kesemua mereka menjadi saksi bahawa isi pembentangan saya tidak menyentuh nama-nama tokoh, apatah lagi mengaitkan mereka dengan pengganas."Saya juga tidak pernah menyebut atau mengaitkan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dalam pembentangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.Seorang pegawai ILIM, agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dilaporkan mengaitkan tokoh-tokoh tertentu di negara ini dengan fahaman pengganas dalam satu taklimat di Bukit Aman Isnin lalu.Berikutan laporan media, beberapa tokoh tampil membuat penafian mereka terbabit dengan fahaman pengganas. – BERNAMA