suria

16 Pelajar Bernasib Baik Tidak Lemas Bila Bot Tenggelam

MUAR: Enam belas pelajar Sekolah Menengah Kundang Ulu dekat Grisek di sini terselamat daripada lemas apabila bot yang sarat dengan penumpang dimasuki air dan karam ketika sedang menyeberangi Sungai Muar.

Kejadian itu berlaku pada lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Mereka dalam perjalanan menyeberang ke Kampung Liang Batu.

Pelajar-pelajar itu yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima termasuk empat perempuan hendak pulang ke rumah dari sekolah apabila bahagian depan bot kayu berkenaan mula condong ke gigi air.

Insiden itu berlaku hanya beberapa meter sahaja dari Jeti Kampung Liang Batu dan mereka bernasib baik kerana kesemuanya berjaya berenang semula ke arah jeti.

Pengendali bot itu, Fuad Shaari, 52, berkata, botnya mula tenggelam apabila beberapa orang pelajar berkenaan bergegas ke bahagian hadapan bot ketika ia sedang menghampiri jeti.

Kata Fuad, kesemua mereka benar-benar bernasib baik kerana perahu itu tenggelam ketika ia menghampiri jeti.

Cerita Fuad lagi, salah seorang mangsa, Nurul Syirah Abdul Rahim, pelajar tingkatan dua hampir-hampir lemas tetapi berjaya diselamatkan dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

Fuad berkata, inilah pertama kali bot yang digunakan untuk membawa penduduk menyeberangi Sungai Muar dari Liang Batu ke Kundang Ulu karam sejak ia mula digunakan beberapa tahun lalu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Amirul Akim Hanafi, pelajar tingkatan lima, berkata, dia sedang duduk di bahagian depan bot apabila bot itu tiba-tiba dimasuki air.

Kata Amirul dia dan beberapa kawan lagi telah terjun ke sungai dan berjaya menyelamatkan beberapa orang pelajar perempuan.

Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Mohammed Nasir Ramli berkata, jurumudi bot itu tidak sepatutnya membawa penumpang berlebihan kerana ia membahayakan nyawa.

Katanya, berdasarkan saiz bot itu, ia hanya mampu memuatkan empat hingga lima orang sahaja termasuklah jurumudi itu sendiri.

Tetapi apa yang berlaku ialah bot berkenaan membawa sehingga 16 orang pelajar.

Kata Mohammed, ibu bapa dan para pelajar sendiri perlu menyedari tindakan mereka selama ini telah membahayakan diri.

"Saya menyeru kepada semua pelajar ini supaya menjadikan ini sebagai satu iktibar dan sentiasa memastikan mereka memakai jaket keselamatan," ujarnya.

Artikel Lain