LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 1 Langkawi (APMM) berjaya menahan enam awak-awak warga Indonesia berumur 20 hingga 50 tahun yang menangkap ikan di perairan Langkawi, Khamis.Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara Laksamana pertama maritim Zulkifli Abu Bakar berkata tangkapan itu dibuat hasil rondaan di perairan Langkawi diketuai Lt Maritim Hilmi Abdullah bersama 35 anggota dengan kapal maritim Siamal. Hasil rondaan itu, mereka mengesan sebuah bot rawai kira-kira 1.11 tengah hari di kedudukan 46.5 batu nautika Barat Daya Pulau Langkawi yang dipercayai sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan, katanya menerusi satu kenyataan.Beliau berkata hasil pemeriksaan dibuat mendapati bot rawai itu tidak bernombor, tiada dokumen sah menangkap ikan di perairan Malaysia dan enam awak-awak Indonesia.Katanya, APMM turut menjumpai 10 peralatan menangkap ikan jenis tali rawai serta hasil tangkapan yang dianggarkan sebanyak 130 kilogram yang dipercayai untuk dipasarkan di Indonesia.Beliau berkata, bot serta awak-awak ditahan dan dibawa ke Jeti Perikanan Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut.Zulkifli menambah, pihak Maritim akan terus meningkat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari masa ke masa bagi mencegah aktiviti penyeludupan serta pencerobohan dan kes-kes jenayah. - BERNAMA