suria

11 Nelayan Malaysia Mungkin Akan Didakwa Di Filipina

KOTA KINABALU: Sebelas nelayan Malaysia yang ditahan di perairan Tambisan, Filipina berhampiran Lahad Datu semalam mungkin akan didakwa di Filipina, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim hari ini.

"Mereka mungkin akan didakwa di sana kerana melakukan sesuatu kesalahan, mungkin kerana mereka menceroboh masuk perairan Filipina, mungkin kerana mereka memiliki bahan terlarang untuk menangkap ikan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan senarai Orang Kena Pengawasan (OKP) oleh Polis Sabah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah di sini.

Katanya, polis negeri juga sentiasa berhubung dengan polis Filipina mengenai keadaan nelayan Malaysia di sana, termasuk butiran mengenai pertuduhan terhadap mereka, sekiranya ada.

"Buat masa ini, mereka semua ditahan di balai polis Taganak, Selatan Filipina dan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, 11 rakyat Malaysia, yang menaiki sebuah bot nelayan untuk menangkap ikan di perairan Tambisan, Filipina berhampiran Lahad Datu, ditahan oleh pihak berkuasa Filipina.

Polis mengesahkan penahanan mereka, termasuk penemuan bom ikan dalam bot itu oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Mengenai majlis itu, Noor Rashid berkata, AADK Sabah merupakan agensi yang sesuai untuk mengawasi 638 OKP seluruh Sabah agar program rawatan dan pemulihan penagih dadah dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, OKP cuma perlu melaporkan diri kepada balai polis daerah masing-masing seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, penyerahan senarai nama OKP itu juga akan membolehkan polis memberi tumpuan terhadap penangkapan bekalan dadah berbahaya bagi mengurangkan lebih ramai masyarakat terjerumus ke kancah penagihan dadah. - BERNAMA

Artikel Lain