KUALA LUMPUR: Warga korporat diseru agar lebih aktif dalam membantu kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara ini melalui inisiatif tanggungjawab korporat, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.Beliau berkata, menerusi bantuan yang diberikan sama ada dalam bentuk pemberian ilmu atau material, ia sekurang-kurangnya dapat membantu anak-anak yatim yang kurang berkemampuan menimba ilmu sekaligus mencari jalan keluar dari kepompong kemiskinan. "Saya percaya dengan menyuntik semangat cintakan ilmu pendidikan serta pembelajaran ke dalam diri anak-anak yatim yang kurang berkemampuan, akan dapat membantu mereka mengubah kunci nasib keluarga masing-masing di masa hadapan kerana sesungguhnya ilmu tangga kejayaan."Ia terbukti apabila ramai di kalangan anak golongan yang kurang berkemampuan serta golongan miskin tegar mampu menggapai impian untuk menjejakkan kaki mereka ke menara gading serta mendapat segulung ijazah sebagai saham masa depan yang lebih baik," katanya.Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tabung Kemanusiaan Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) di sini, Isnin.Justeru itu, katanya hasrat KVUM untuk membantu anak-anak yatim dengan ilmu menerusi tabung yang dilancarkan itu diharap mendapat sokongan daripada golongan warga korporat yang lain.Katanya ini kerana segala kemakmuran dan keuntungan yang mereka nikmati adalah hasil yang dituai di atas segala usaha kerajaan yang menjana ekonomi mapan serta daya saing negara menjadi lebih kompetitif."Ia juga sebagai tanda sokongan serta kerjasama daripada rakyat yang mengamalkan konsep 1Malaysia dalam membantu kerajaan dalam memastikan tiada kanak-kanak daripada golongan asnaf tercicir dari mendapatkan ilmu khususnya untuk masa depan mereka."Ia juga sebagai satu langkah proaktif bagi memastikan kerajaan tidak akan kekurangan dari segi modal insan yang mapan serta bakal pemimpin yang berwibawa demi pembangunan negara di masa hadapan," katanya.Pada majlis tersebut, Rosmah turut menyampaikan sumbangan dan derma kepada 105 orang anak-anak yatim yang disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang kenamaan.Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Presiden KVUM, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Mohd Hashim Ahmad Makaruddin, tokoh wartawan dan bekas Pengerusi Bernama, Tan Sri Mazlan Nordin dan Pengerusi Eksekutif Glomac, Tan Sri FD Mansor. - BERNAMA