suria

20,000 Penonton Hadir Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Malam Ahad

KANGAR: Kira-kira 20,000 penonton dijangka menyaksikan pelbagai persembahan yang akan dijayakan kira-kira 3,000 peserta sempena pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan di Stadium Utama di sini malam Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata persembahan sempena pelancaran gilang gemilang itu akan tetap diteruskan walaupun hujan.

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serentak dengan bermulanya sambutan Bulan Kemerdekaan ke-53 bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi".

Katanya beliau mengakui cabaran persiapannya amat berat kerana ini kali pertama ia dilakukan secara besar-besaran kerana sebelum ini program kibar Jalur Gemilang dibuat secara kecil-kecilan.

Raptai persembahannya telah disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Khamis lalu.

Norliza berkata, apa yang dilakukan pada persiapan akhir itu ialah memastikan segalanya berjalan lancar esok apabila acara bermula pada pukul 8 malam.

Selain acara padang termasuk perarakan Jalur Gemilang gergasi, turut diadakan ialah persembahan aksi hebat Wira Merah, kumpulan akrobatik motosikal yang menjadi kebanggaan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Antara aksi hebat yang bakal dipertontonkan ialah menunggang motosikal sambil memetik gitar, menampi padi sambil menaiki motosikal bergerak dan pelbagai aksi yang mendebarkan.

Perarakan 20 jenis kereta nasional keluaran Proton juga akan diadakan selain acara mendirikan simbol 1Malaysia gergasi di tengah padang oleh kumpulan peserta persembahan.

Antara tetamu yang dijangka hadir pada pelancaran itu termasuk Rais dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja akhir di Stadium Utama itu termasuk pemasangan permaidani merah dan hiasan bunga sedang giat dilakukan.

Sambutan Bulan Kemerdekaan itu yang bermula dengan pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Perlis akan berakhir dengan dengan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 Sept ini manakala sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung 31 Ogos ini di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan