suria

Budak Selamba Ke Sekolah Selepas Bunuh Rakan

GEORGE TOWN: Seorang pelajar berusia 16 tahun dengan selamba ke sekolah - sejam selepas mengelar leher rakan sekolahnya berumur 13 tahun.

Siasatan polis mendapati suspek lewat ke sekolah berdasarkan rakaman kamera litar tertutup sekolah di Jalan Tengah di Bayan Baru,

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, budak itu yang kini direman selama tujuh hari telah pergi ke rumah mangsa, R. Surendran pada awal pagi.

Katanya, mereka kemudian bergaduh ekoran timbul masalah antara mereka berdua.

Hasil bedah siasat mendapati, selain luka dikelar terdapat hematoma di seluruh badan dan calar dipercayai kesan daripada pisau yang digunakan suspek, ujar beliau.

"Kami percaya mereka bergelut di bilik tidur tempat di mana mayat mangsa ditemui. Kes ini dianggap selesai," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Khamis.

Sebelum itu, bapa Surendran menemui mayat anaknya sejurus memasuki bilik tidur terbabit dalam keadaan leher dikelar.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dibunuh antara pukul 7 hingga 10 pagi.

Ayub berkata, selepas kejadian itu suspek pulang ke rumahnya di Bayan Lepas dan membuang seluar sekolah yang berlumuran darah, kasut, beg galas, kemeja T dan dua bilah pisau.

Polis kemudian menemui barang-barang itu di tong sampah dekat rumah suspek.

Sementara itu, keluarga Surendran mangadakan upacara pengkebumian di padang dekat flat kediaman mereka.

Kira-kira 80 sanak saudara dan rakan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Bapa mangsa, K. Ramesh dan ibu, S. Letchumy kedua-duanya berusia 39 tahun, terlalu sedih untuk bercakap kepada wartawan. Mereka juga mempunyai anak perempuan, 16, dan anak lelaki berumur tujuh tahun.

Seorang pelajar tingkatan tiga yang hanya mahu dikenali sebagai Paul berkata, Surendran merupakan pelajar yang ceria dan peramah.

"Dia juga jiran saya. Kami biasa main bola sepak di padang ini," ujarnya.

Mayat mendiang kemudian dibakar di Batu Lanchang pada pukul 4 petang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain