IPOH: Seorang anggota polis cedera parah apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Gopeng-Kampar, Sabtu.Konstabel Fairuz Siron, 23, yang cedera parah di kepala dan kaki kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata kemalangan berlaku semasa Fairuz bersama seorang lagi rakannya yang turut menunggang sebuah motosikal sedang membuat rondaan pencegahan jenayah pada kira-kira pukul 3 pagi.Abdul Aziz berkata sebuah kereta tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh kereta itu."Mangsa yang tercampak ke atas jalan mengalami kecederaan di kepala dan kaki, manakala rakannya sempat mengelak," katanya ketika dihubungi, Ahad.Abdul Aziz berkata pemandu kereta jenis Proton Wira berwarna putih itu tidak berhenti sebaliknya memecut meninggalkan tempat kejadian.Beliau berkata polis kini memburu pemandu kenderaan berkenaan dan telah mendapat maklumat daripada orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.Kes itu disiasat kerana kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan, katanya.Beliau berkata perbuatan tidak melaporkan kemalangan juga adalah kesalahan yang serius dan diharap pemandu terbabit memberi kerjasama dengan membuat laporan polis.Abdul Aziz meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar melalui nombor telefon 05-4652222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA