suria

Warga Emas Ditahan Jadikan Rumah Tempat Simpanan Mercun, Rokok

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang wanita dan merampas mercun, bunga api dan rokok dianggar bernilai RM15,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran, dalam satu serbuan di sebuah rumah berhampiran Sungai Golok.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), DSP Kamaludin Kassim berkata wanita berumur 61 tahun yang dipercayai menjadikan rumahnya sebagai transit ditahan pada pukul 5.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan kami menemui pelbagai jenis mercun, bunga api dan rokok yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, tersimpan di bahagian dapur rumah wanita yang tinggal berseorangan itu," katanya kepada pemberita di Balai Polis Meranti di sini.

Sementara itu, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, Tumpat pula berjaya merampas 212 biji mercun bola, ketupat dan robot yang bernilai RM1,200 di pangkalan haram Tualang, Simpangan di sini, Sabtu.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor DSP Tan Cheng Sang berkata empat anggota PGM yang melakukan rondaan terserempak dengan tiga lelaki warga Thailand sedang memunggah sesuatu dari sebuah bot galah di pangkalan haram tersebut pada pukul 4 petang.

"Tiga lelaki itu sempat melarikan diri ke negara jiran dan selepas diperiksa kami menemui 43 bungkusan yang mengandungi tiga jenis mercun itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain