suria

Hentikan Segera Guna Nama Guan Eng Dalam Khutbah Jumaat

BESUT: Perbuatan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hendaklah dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia amat memalukan kerana jelas menjatuhkan maruah Islam yang mempunyai hukum dan peraturan tersendiri.

Katanya, khutbah Jumaat adalah satu ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan sesuatu majlis yang dimana aturcaranya boleh diubahsuai sesuka hati dan tidak berlandaskan hukum.

"Justeru, tidak wajarlah di dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dimasukkan doa untuk mereka yang bukan Islam kerana ia tidak pernah dilakukan walaupun di zaman Nabi," katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan penggunaan nama Ketua Menteri itu yang dilaporkan berlaku di beberapa buah masjid ketika solat Jumaat baru-baru ini.

Di KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar satu siasatan segera dibuat mengenai amalan penggantian nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, maka amalan itu bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar bagi mengagungkan Lim selaku Ketua Menteri.

"Kejadian-kejadian pelik lagi dangkal kerana pembacaan doa khutbah solat Jumaat sememangnya dikhususkan kepada Ketua Agama Islam Persekutuan atau Ketua Agama Islam Negeri, yakni Yang Dipertuan Agong dan Sultan dan bukannya untuk kuasa eksekutif pentadbiran negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira sama ada beliau itu muslim atau tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata Majlis Agama Islam Pulau Pinang tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berlaku kerana ia jelas menghina dan mengaibkan seluruh umat Islam di negara ini.

Katanya, perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini dimana nama Menteri Besar atau Ketua Menteri apatah lagi daripada golongan bukan Islam disebut di dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat.

"Majlis Raja-Raja sudah membuat ketetapan bahawa hanya nama Yang di-Pertuan Agong disebut dalam doa khutbah Jumaat, oleh itu apa yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang amat mengaibkan umat Islam," tegasnya. -BERNAMA

Artikel Lain