suria

10 Motosikal Musnah Dipercayai Dibakar

KUALA LUMPUR: Sepuluh buah motosikal musnah dipercayai dibakar di sebuah pangsapuri di Apartment Riviera, Taman Muda Ampang, dekat sini awal hari ini.

Kebakaran yang berlaku di tempat letak kenderaan di bahagian bawah pangsapuri empat tingkat itu disedari orang ramai yang melalui jalan berhampiran kira-kira pukul 4.30 pagi.

Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Pandan Indah bersama tujuh anggota tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.

Berikutan kebakaran itu, sebuah kereta yang terletak berhampiran dengan motosikal tersebut turut mengalami kerosakan akibat terkena bahang api.

Selain itu, bahagian luar sebuah rumah di tingkat satu bangunan tersebut turut rosak akibat kebakaran.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan adanya unsur khianat.

Bagaimanapun, katanya polis masih menyiasat motif sebenar kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain