BACHOK: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mencegah kegiatan penyeludupan barang-barang keperluan yang dijangka meningkat sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.Panglima Dua Divisyen, Mej Jen Datuk Mohd Noor Daud berkata kawalan 24 jam itu akan membabitkan kawasan sempadan Perlis, Kedah, Perak serta Kelantan seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri. "Ini termasuk barang-barang kawalan keperluan harian terutama yang bersubsidi seperti gula, minyak masak dan minyak petrol yang mendapat pasaran tinggi di negara jiran," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.Mohd Noor berkata kebiasaannya rakyat dari kedua-dua negara akan mengambil kesempatan menyeludup barang-barang itu ke negara jiran sama ada bagi tujuan komersial atau kegunaan semasa perayaan untuk mendapat keuntungan berlipat ganda.Katanya antara kawasan yang akan diberi tumpuan khusus termasuk pekan Pangkalan Kubur (Tumpat), Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Bukit Bunga (Jeli) di Kelantan serta Bukit Kayu Hitam di Kedah.Beliau berkata sehingga ini, tiga batalion ditempatkan di kawasan sempadan negeri-negeri berkenaan dan anggota yang bertugas akan menjalankan rondaan siang dan malam termasuk pada hari raya.Selain itu, katanya, mereka juga akan melakukan rondaan dalam hutan belantara di Perak bagi memastikan tiada rakyat asing yang melakukan pencerobohan untuk menangkap binatang eksotik seperti monyet dan biawak serta kegiatan mencuri kayu gaharu.Menurutnya ada di antara penceroboh itu memasuki hutan di negeri berkenaan pada waktu malam untuk mengelak daripada dikesan oleh pasukan keselamatan.Mohd Noor berkata beliau sendiri akan menyambut hari lebaran bersama anggota tentera pada hari raya pertama sebagai menghargai pengorbanan mereka tidak dapat menyambut hari yang mulia itu bersama keluarga masing-masing. - BERNAMA