Perbandingan pasport Bangladesh antara yang asli (kiri) dan palsu.EKSKLUSIF mStar Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB SEPANG: Mereka datang ke negara ini atas visa pelawat kononnya untuk melancong dan makan angin.Hakikatnya mereka adalah sebahagian daripada sindiket visa palsu yang matlamat akhirnya jika terlepas masuk ke negara kita, akan berakhir bekerja di restoran-restoran mamak di seluruh negara. Malangnya, lawatan singkat mereka ke Malaysia hanya terhenti di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila Jabatan Imigresen Malaysia berjaya mengesan niat sebenar mereka dengan separuh daripadanya masuk menggunakan visa dan pasport palsu.Selepas ditahan, mereka dengan segera dihantar semula ke negara asal menerusi penerbangan balik seterusnya (next available flight).Wartawan mStar Online yang diberi akses untuk melihat sendiri bagaimana operasi ini dijalankan oleh Unit Penguatkuasa KLIA tengah malam Khamis telah melihat sendiri beberapa ‘pelancong asing’ dari Bangladesh berpura-pura tidak tahu menahu yang dia memasuki negara ini menggunakan pasport orang lain yang ditampalkan gambarnya.Terdapat juga insiden yang disaksikan oleh wartawan mStar, beberapa pelancong juga dari Bangladesh cuba memasuki negara ini menggunakan visa palsu yang disediakan oleh satu sindiket di negara mereka sendiri.Tahun ini sahaja (sehingga kini), Jabatan Imigresen telah berjaya menahan dan menghantar 7,413 warga asing yang ditahan di balai ketibaan KLIA.Pengarah Imigresen KLIA, Mohd Zulfikar Ahmad berkata, mereka diberikan notis penolakan masuk (Not To Land Notice) kerana gagal mematuhi syarat kemasukan ke negara ini.“Pelancong palsu ini merupakan antara 2.28 juta warga asing yang memasuki negara ini melalui Bangunan Terminal Utama dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak Januari tahun ini sehingga Ogos.“Warga Bangladesh mencatatkan bilangan tertinggi seramai 4,430 orang dan sebahagian besarnya dipercayai menjadi mangsa ejen atau sindiket,” katanya.Warga India mencatatkan bilangan NTL kedua tertinggi iaitu 712 orang dan ketiga tertinggi adalah Pakistan seramai 480 orang.Mohd Zulfikar berkata, antara kegagalan mematuhi syarat kemasukan Malaysia selain menggunakan pasport dan visa palsu ialah tidak mempunyai tiket penerbangan balik dan tidak mempunyai perbelanjaan mencukupi.Mereka ini semua dikategorikan sebagai pelancong asing yang meragukan - dikhuatiri mempunyai agenda tersembunyi apabila memasuki negara ini seperti hendak mencari pekerjaan.“Golongan yang dikenal pasti ini akan diberikan NTL yang tidak membenarkan mereka melepasi pintu masuk KLIA dan perlu dihantar semula ke negara asal melalui penerbangan seterusnya,” ujar beliau.Menurut beliau, unit penguatkuasaan KLIA melakukan 791 tangkapan terhadap warga asing di pintu masuk di bawah Akta Imigresen 1959/63 dari Januari sehingga kini.“Sebanyak 201 tangkapan di bawah Akta Pasport 1966 bagi tempoh yang sama,” tambahnya lagi.Akta Imigresen 1959/63 meliputi kesalahan tinggal lebih masa, pas palsu dan tiada pas serta dokumen sah. Akta Pasport 1966 disebabkan kesalahan berkaitan visa dan pasport serta dokumen palsu milik pelawat asing dan penyamar.(Untuk laporan ekslusif sila dapatkan Minggu mStar bersama Sunday Star esok)