suria

33 Ditahan Dalam Ops Khas Hari Merdeka

IPOH: Polis menahan 33 orang, dua daripadanya wanita dan menyita 33 motosikal dalam operasi khas Hari Merdeka di sini, Manjung dan Taiping awal Selasa.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam operasi di bandar raya ini, seramai 31 penunggang motosikal termasuk dua wanita ditahan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.

Polis mengeluarkan 42 saman membabitkan 65 kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan mengubahsuai motosikal, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Wan Abdullah berkata operasi membabitkan 48 anggota trafik dengan bantuan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut menyita lapan motosikal yang ditinggalkan oleh pemiliknya.

Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi itu diadakan di Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Tun Razak.

Kesemua mereka berusia 17 hingga 26 tahun itu dibebaskan hari ini selepas polis mengambil keterangan daripada mereka, katanya.

Sementara itu dalam operasi di Taiping, polis menahan remaja berusia 17 tahun kerana terbabit dalam lumba haram dan menyita 21 motosikal serta mengeluarkan 25 saman.

Dalam operasi di Manjung pula, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana menunggang motosikal secara berbahaya serta mengeluarkan 46 saman pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal. - BERNAMA

Artikel Lain