suria

AirAsia Akan Timbang Jambatan Angkasa Jika Pakejnya Baik - Tony

SEPANG: AirAsia akan menimbang menggunakan cadangan jambatan angkasa di terminal penerbangan tambang murah (LCCT) baharu atau KLIA 2 sekiranya pakej yang baik, menggabungkan kegunaannya dan tambang murah boleh dicapai, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Dr Tony Fernandes.

"Sekiranya lapangan terbang (MAHB) memberikan pakej yang baik, kami akan menimbangkannya. Perkara utama ialah anda tidak akan mendapat 30 juta penumpang tanpa tambang murah.

"Sudah tentu anda mahu memberikan pelanggan segalanya, tambang murah, jambatan angkasa, tetapi ia tidak akan berlaku sekiranya anda mengenakan bayaran tinggi.

"Jika ia boleh memberikan janji niaga yang berbaloi dari segi ekonomi dan membolehkan kita beroperasi juga dalam tempoh masa mendarat dan berlepas 25 minit, ia akan menjadi suatu yang baik," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah KLIA 2 di sini, Isnin.

"Jika anda tanya setiap orang di luar sana apa yang anda suka, tambang murah atau tambang lebih tinggi dengan jambatan angkasa, anda akan tahu apakah jawapannya. Jika anda boleh temui penyelesaian bagi kedua-duanya, ia suatu yang baik," katanya.

Sementara itu, terdahulu bercakap kepada pemberita, Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid berkata, MAHB memerlukan komitmen kukuh daripada syarikat penerbangan mengenai penggunaan cadangan jambatan angkasa itu, sambil menambah ia adalah untuk kepentingan keselesaan penumpang dan keselamatan untuk digunakan.

"Kami telah memberikan pilihan kepada mereka. Dan apa yang kami mahu adalah komitmen kukuh segera daripada syarikat penerbangan tambang murah yang mereka mahu menggunakan jambatan angkasa dan kami akan memasang kemudahan itu," katanya.

Menurut MAHB, bayaran jambatan angkasa sebanyak RM85 kemungkinan adalah yang terendah di dunia.

KLIA 2 dijangka siap pada April 2012. BERNAMA