suria

24 Warga Malaysia Ditahan Di UK Kerana Kesalahan Imigresen

KUALA LUMPUR: Seramai 24 rakyat Malaysia ditahan oleh Agensi Sempadan United Kingdom (UK) dalam beberapa siri operasi sejak dua bulan lepas kerana bekerja secara haram di restoran dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British di sini hari ini, kesemua yang ditahan itu akan dihantar pulang dan dilarang memasuki negara itu sehingga 10 tahun.

Katanya pesalah imigresen itu ditahan di pusat tahanan sementara menunggu proses penghantaran semula ke negara asal.

Operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha agensi itu membanteras pekerja haram, perkahwinan palsu, kolej haram dan jenayah imigresen terancang di seluruh negara itu.

Pihak majikan restoran juga telah diberi amaran dan berdepan dengan hukuman denda sehingga £10,000 (RM48,189) bagi menggaji setiap pekerja asing tanpa izin kecuali mampu membuktikan mereka telah melaksanakan prosedur hak untuk bekerja.

Menurut perangkaan, seramai 370 rakyat Malaysia dihantar pulang selepas ditahan di pusat tahanan atas kesalahan imigresen tahun lepas.

Dalam kenyataan sama, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Ray Kyles, berkata kadar penahanan rakyat Malaysia di negara itu membimbangkan.

"Kami terus menggesa semua rakyat Malaysia supaya mematuhi syarat kemasukan apabila melawat United Kingdom," katanya.

Kyles berkata rakya Malaysia dibenarkan tinggal sehingga enam bulan di negara itu tanpa visa dan menjadi kesalahan jika tinggal melebihi tempoh itu tanpa kebenaran dan dilarang bekerja sama sekali semasa berada di sana. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan