suria

400 Anggota Trafik Kawal 23 Laluan Maut Di Kelantan

KOTA BAHARU: Seramai 400 anggota Trafik Kelantan dijangka ditempatkan di 23 lokasi maut yang dikenal pasti di seluruh negeri itu sepanjang musim perayaan ini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri Supt Azli Mat Nor berkata laluan terbabit membabitkan lima daerah iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Sebanyak 28 kematian direkodkan di jalan-jalan terbabit pada Ops Sikap yang lepas dan keadaan tahun ini dijangka tidak banyak berubah kerana struktur jalan masih sama, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Sikap ke-22, di sini, pada Jumaat.

Selain itu katanya, keadaan trafik juga dijangka semakin sesak dengan pertambahan kenderaan di atas jalan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai Ops Sikap kali ini, Azli berkata ia dilaksana menerusi dua konsep iaitu kanopi dan rondaan. "Konsep kanopi ialah kedudukannya statik yang mana kita akan menempatkan anggota kita di setiap laluan panas yang dikenalpasti terutama di sepanjang lebuhraya persekutuan bagi melihat kelancaran perjalanan balik semasa cuti hari raya nanti," katanya.

Melalui rondaan pula, Azli berkata beberapa anggota polis trafik akan melakukan pemantauan menggunakan kereta dan motosikal di kawasan sesak bagi menangani sebarang kemungkinan.

"Apa yang kita nampak, kita akan bantu untuk melancarkan perjalanan dan minta pengguna ikut arahan trafik terutama tidak memotong barisan kerana ia membantu kepada berlakunya kesesakan jalan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan