KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO hari ini berharap Akta Persaingan 2010 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini dapat mewujudkan persaingan sihat dalam semua rantaian pengedaran barang keperluan.Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata ini kerana kebanyakan pengguna selalunya menyalahkan peruncit dan juga kerajaan apabila berlakunya kenaikan harga barang walhal usaha penetapan harga bermula dari peringkat pembuatan lagi. "Kita harap kerajaan melihat setiap peringkat dari segi pembuatan atau rangkaian bekalan supaya persaingan itu wujud di setiap peringkat."Kawalan harga yang tinggi bermula dari pihak pengilang sendiri. Jadi saya harap perundangan itu sudah lengkap dan sekiranya kita tidak pastikan persaingan itu wujud di setiap peringkat maka musim tertentu harga akan naik," katanya kepada pemberita pada pelancaran Kempen Kepenggunaan Muda di sini, Selasa.Terdahulu itu, beliau mengadakan sesi dialog bersama wakil pasaraya seperti Tesco, Giant, Carefour dan Mydin untuk membincangkan kenaikan harga barang setiap kali menjelang musim perayaan.Khairy berharap amalan penetapan harga oleh segelintir pembekal dalam rantaian pengedaran akan diambil kira dalam garis panduan penubuhan Suruhanjaya Persaingan.Sementara itu, Khairy dalam satu kenyataannya berkata program "Jom Balik Kampung" yang bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini, akan mengagihkan sebanyak 10,000 pek makanan kepada pengguna pengangkutan awam di Hentian Sementara Bukit Jalil, Hentian Bas Jalan Duta, KL Sentral dan Hentian Putra.Program itu, yang bermula Ahad lepas dan berakhir Rabu, merupakan program kerjasama antara Pemuda UMNO, Digi, Yayasan GerakBakti Kebangsaan dan Sekretariat Hal Ehwal Bandar. - BERNAMA