suria

Zaid Harap Pemilihan Berjalan Atas Semangat Setiakawan

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim berharap pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada November ini berjalan atas semangat setiakawan.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan itu berkata, dengan cara tersebut dapat menunjukkan bahawa parti itu adalah gerakan yang matang dan progresif.

“Ini satu kesempatan untuk membuktikan bahawa parti ini (PKR) mampu melangsungkan pemilihan demokratik, terutamanya apabila pemilihan ini akan diadakan di bawah pengawasan seluruh negara,” katanya yang dipetik di laman web http://www.zaiduntukrakyat.com.

Bekas menteri yang mewakili PKR pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu juga berkata, beliau tidak faham mengenai keriuhan yang berlaku disebabkan jawatan nombor dua dalam parti.

“Nombor dua dalam politik Malaysia hanya untuk glamor dan nama saja, tidak adalah banyak kuasa sangat.

“Apa lagi dalam Keadilan, nombor satu pun tak ada kuasa seperti Ketua Umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi. Jadi, saya tidak faham riuh-rendah pasal jawatan nombor dua ini,” tambahnya.

Sementara itu, Harakah Daily melaporkan Zaid mahukan perebutan jawatan berlaku atas semangat setiakawan untuk mengelakkan sebarang ketegangan yang hanya menyulitkan penyatuan di antara anggota parti.

Merujuk kepada trend calon untuk menyiapkan ‘geng’ sokongan, Zaid berkata, perkara itu tidak bercanggah prisip demokrasi namun mampu menimbulkan ketegangan jika tidak dikawal.

“Bagi saya, perlawanan ini adalah biasa, yang diadakan tiga tahun sekali. Perbuatan membawa sokongan ini akan membawa tension,” katanya.

Zaid bagaimanapun menjelaskan beliau tidak boleh mengkritik cara sesetengah pihak berkempen, kerana setiap pihak mempunyai kaedah tersendiri.

“Saya rasa, eloklah kita bertanding secara ‘friendly contest’ (pertandingan setiakawan),” katanya yang dilaporkan Suara Keadilan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain