suria

Agong Tiba Untuk Lawatan Tugas Khas Di Kanada

MONTREAL: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di sini pada Sabtu untuk memulakan lawatan tugas khas selama enam hari ke Kanada sempena projek 'Brain Gain' Malaysia.

Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Pierre Elliot Trudeau pada 6 petang (6 pagi Ahad waktu Malaysia) disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das.

Lawatan 'Brain Gain' Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu antara lain bertujuan membangunkan kepakaran teknikal dan saintifik dalam beberapa bidang strategik antara universiti di Malaysia dan Kanada.

Antaranya ialah bidang perubatan yang melibatkan Universiti McGill di sini dan bidang pertanian serta makanan membabitkan Universiti Guelph di Toronto.

Tuanku Mizan dijadual berangkat menyaksikan beberapa majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan Universiti Teknologi Mara, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Putra Malaysia dengan kedua-dua universiti terbabit.

Baginda juga akan melawat Hospital Besar Montreal untuk meninjau sendiri projek 'Super Hospital' yang dilaksanakan di situ selain melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Centre pada Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain