MONTREAL, Canada: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat melawat Pusat Kesihatan Universiti McGill (MUHC) di Montreal General Hospital, pada Isnin.Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MUHC Dr Arthur Porter, Pengarahnya Dr Vassilios Papadopoulos dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Pusat Penyelidikan MUHC Dr Costas Karatzas. Semasa lawatan 90 minit itu, Tuanku Mizan diberi taklimat mengenai projek 'Super Hospital' oleh Dr Porter dan mengenai program penyelidikan pusat tersebut oleh Dr Papadopoulos, diikuti penerangan mengenai keseluruhan hospital oleh pakar pembinaan Yanai Elbaz.Baginda kini dalam rangka lawatan tugas-tugas khas ke Kanada bersempena program 'Brain Gain' yang dianjurkan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang dipengerusikan baginda.MUHC ialah jaringan kerja hospital komuniti dan pusat pembelajaran yang bersekutu dengan McGill University.Sebagai hospital yang juga berperanan sebagai pusat pembelajaran, MUHC memberi pendidikan tinggi dan jagaan kuaterner untuk pesakit dari seluruh Quebec dan tempat lain, selain jagaan primer dan sekunder serta perkhidmatan trauma kecemasan untuk dewasa dan kanak-kanak di kawasan Montreal.Tujuh misi klinikal MUHC ialah perubatan pediatrik (Montreal Children's Hospital), perubatan, surgeri, neurosains ( Montreal Neurological Hospital), kesihatan wanita, kesihatan mental dan jagaan kanser.Sementara itu di luar lawatan tersebut, beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara tiga institusi pengajian tinggi Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bersama MUHC, Pusat Penyelidikan MUHC dan Royal Institution for the Advancement of Learning, McGill University.Antara bidang kerjasama yang dipersetujui di bawah MoU tersebut ialah pertukaran jangka pendek dan jangka panjang fakulti, pertukaran pelajar siswazah dan pertukaran tenaga pengajar.Mereka juga bersetuju melakukan kerjasama penyelidikan dan penemuan, pembelajaran, pengajaran serta pengambilan, secara khususnya kerjasama penyelidikan dalam sains kardiovaskular, perubatan kanser, gerontologi, geriatrik, fisiologi pembiakan, perubatan genom dan 'tocotrienol'. Mewakili UiTM ialah Naib Canselornya Prof Datuk Dr Sahul Hamid Abu Bakar sementara Unisza diwakili Timbalan Naib Canselor Prof Dr A. Manaf Ali dan UPM oleh Naib Canselor Prof Tan Sri Nik Mustapha Abdullah.McGill diwakili Naib Canselor (Hal-Ehwal Kesihatan) Dr Richard I. Levin, yang juga Dekan Fakulti Perubatan.Pada masa yang sama UiTM juga menandatangani MoU berasingan dengan MUHC mengenai pembangunan hospital berteknologi termoden, sementara Unisza dan MUHC bersetuju merancang dan membangunkan hospital pembelajaran termaju di Malaysia.Mengulas mengenai MoU itu, Dr Karatzas berkata ia akan menjadi asas untuk memulakan kerja oleh tenaga kerja dan pelajar."Bermula sebagai rasa ingin tahu secara saintifik, kini sudah menjadi jaringan kerja untuk pelbagai aktiviti bagi pelajar, program, hala tuju saintifik, dan saya fikir hanya imaginasi kita saja menjadi batas kepada sejauh mana interaksi ini boleh berlangsung," katanya kepada kumpulan wakil media Malaysia pada majlis itu di sini. - BERNAMA