suria

Anak Raja Petra Bebas Tuduhan Curi Motor

Raja Azman (kiri) di luar Mahkamah Majistret, pada Rabu. Foto: THE STAR/ IBRAHIM MOHTAR
Raja Azman (kiri) di luar Mahkamah Majistret, pada Rabu. Foto: THE STAR/ IBRAHIM MOHTAR
Raja Azman (kiri) di luar Mahkamah Majistret, pada Rabu. Foto: THE STAR/ IBRAHIM MOHTAR

SHAH ALAM: Anak kedua pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin pada Rabu, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencuri motosikal dan memecah masuk rumah seorang operator pengeluaran, yang didakwa dilakukan tahun lalu.

Majistret di sini, Norkamilah Aziz membuat keputusan itu tanpa memanggil Raja Azman Raja Petra, 34, membela diri atas tuduhan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie untuk dijawabnya.

Raja Azman yang hadir dengan memakai t-shirt berwarna hitam putih dan berseluar jeans dilihat gembira dengan keputusan itu.

Dia yang berada dalam jaminan sebanyak RM10,500 turut memeluk peguamnya, J. Chandra dan Amarjeet Singh.

“Syukur kepada Tuhan sebab saya dibebaskan. Pembebasan ini dapat membersihkan nama ayah saya,” kata Raja Azman berhubung keputusan itu.

Pada 19 Mei 2009, Raja Azman didakwa mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ nombor pendaftaran BJQ9597 bernilai RM8,000 milik Mohd Syaiful Setapa, 25, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac 2009 di Sesyen 19 di sini.

Dia juga didakwa memecah masuk rumah Mohd Syaiful di nombor 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 di sini, pada masa yang sama dan mencuri dompet berisi wang tunai RM20, cukai jalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta lesen memandu milik mangsa.

Pembebasan ini bagaimanapun bukan bermaksud sepenuhnya memandangkan Raja Azman masih menghadapi dua lagi pertuduhan di mahkamah yang sama.

Pertuduhan tersebut adalah bagi kesalahan mencuri sebuah telefon bimbit Nokia dan jam tangan Seiko serta serangkai kunci motosikal yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM3,850 dari kediaman pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 10 pagi, 24 April lalu di No. 16, Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2 di sini.

Raja Azman yang beralamat di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memiliki sebuah motosikal Yamaha 135LC bernombor pendaftaran NBT 7332 bernilai RM6,000 milik penuntut, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.40 malam, 5 Mei lalu di depan rumah No. 3 Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong, Petaling Jaya.

Raja Petra 60, yang berkahwin dengan Marina Lee Abdullah pada 14 April 1973 dikurniakan lima anak iaitu Raja Suraya, 36, Raja Azman, Raja Shahril, 32, Raja Azmir, 27 dan Raja Sara, 22 tahun.

Pada prosiding Rabu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Sharon Jikin.

Pada kali pertama didakwa, Raja Azman mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan sebelum menukar pengakuannya pada saat-saat hukuman dijadualkan dijatuhkan, iaitu pada 19 Jun 2009.

Dia juga pernah menimbulkan kontroversi apabila dimasukkan ke ke Hospital Sungai Buloh kerana didakwa mencederakan pergelangan tangannya dan menelan bilah pisau cukur semasa berada dalam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam yang melawat Raja Azman bagaimanapun memberitahu, Raja Azman mengakui bertindak mencederakan dirinya sendiri.

Semasa itu, Raja Azman ditahan ekoran tiada penjamin yang tampil untuk membayar jaminan semasa kes disebut kali pertama di mahkamah. Jaminan hanya dijelaskan oleh seorang kenalan, Khoo Teng Seng pada 2 Mac lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain