suria

Agong Berkenan Hadiri Forum Perdana Di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat menghadiri Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang akan bersiaran secara langsung di Balai Rong Seri, Istana Negara Khamis malam. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Asiah Alkharib Shah dalam satu kenyataan hari ini berkata, siaran langsung itu dapat disaksikan oleh para penonton pada jam 10 hingga 11 malam menerusi RTM TV1.

Anggota panel yang akan membincangkan tajuk forum 'Penghayatan Syawal-Pasca Ramadhan dan juga Hari Raya' ialah Mufti Negeri Kedah Datuk Sheikh Baderudin Ahmad dan pensyarah Jabatan Siasah Syariah, Universiti Malaya Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati. Selain itu, rakaman Forum Perdana bertajuk 'Perpaduan Ummah' turut akan diadakan pada malam sama.

Dua ahli panel yang terlibat dalam rakaman ini adalah Pendakwah Bebas Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan wakil dari Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Badlishah Alauddin. - BERNAMA

Artikel Lain