suria

Zaiton Sameon & Wartawan “Gila”

Zaiton Sameon
Zaiton Sameon
Zaiton Sameon

BEBERAPA minggu lalu Niezam terima aduan daripada penonton sebuah rancangan televisyen. Penonton yang menghubungi Niezam itu naik angin dan marah-marah macam orang gila.

Niezam kata, relakslah... tak payah nak mengamuk dan cakaplah elok-elok. Salah seorang pemanggil tu minta pandangan Niezam macam mana nak serang satu saluran televisyen ni?

Niezam bagi satu saja jawapan mudah. Kalau nak masuk penjara buatlah kerja bodoh macam itu.

Tapi pemanggil itu bukan bodoh pun. Dia tak tergamak buat kerja macam tu cuma dia sekadar nak marah apabila tertengok rancangan di stesen televisyen yang tolol ni.

Menurut pengadu tu, dalam rancangan tersebut wartawan penyiaran yang tak sekolah tu tanya macam-macam soalan kepada artis Zaiton Sameon yang pernah popular dengan lagu Menaruh Harapan.

Niezam nak tumpang menangis dengar cerita si pengadu itu.

Antara soalan yang dikemukakan, adakah Zaiton Sameon gila? Malah rancangan itu turut tidak menapis kenyataan Zaiton kononnya dia pakai susuk pada kaki, lidah dan sebagainya untuk popular bagi mencari rezeki.

Niezam nak bagi tahu kepada wartawan yang bertanyakan soalan itu, tak payahlah tanya soalan sama ada orang itu gila atau tidak? Zaiton tidak gila tetapi yang bertanya soalan itu sebenarnya gila. Orang yang waras tidak akan bertanya soalan sedemikian apatah lagi kepada Zaiton Sameon.

Hubungan Niezam dengan Zaiton tak serapat mana. Tapi beberapa tahun lalu Niezam pernah pergi ke rumah dia di Rembau, Negeri Sembilan. Bukan sekali tapi banyak kali.

Malah pada majlis-majlis tertentu juga Niezam kerap kali berjumpa dengan Zaiton. Tetapi setiap kali jumpa, Zaiton masih tak kenal orang yang pernah pergi rumahnya sebelum ini.

Dari situ Niezam tahu tahap ingatan Zaiton tidak seperti kita yang normal ini. Tetapi syukurlah walaupun Zaiton tak kenal kita tetapi sebahagian besar daripada peminat artis Melayu akan kenal siapa itu Zaiton Sameon.

Dengan tahap pemikiran Zaiton itu tidak wajar soalan adakah dia gila dikemukakan. Malah jawapan yang diberikan Zaiton kononnya dia memakai susuk itu adalah satu jawapan daripada orang yang tidak boleh berfikir macam orang lain.

Sebagai orang yang bijak, sepatutnya visual berkenaan tidak perlu disiarkan. Ia bukan memperlihatkan kebodohan Zaiton tetapi kebodohan wartawan, penerbit dan stesen televisyen itu.

Malah Niezam percaya orang yang melihat visual berkenaan pun tidak akan percaya dengan apa yang Zaiton perkatakan kerana kita semua faham keadaan Zaiton.

Kepada pembaca yang tidak mengetahui sejarah Zaiton Sameon, dia sebenarnya pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya yang cukup ngeri pada tahun 1990 di Batang Kali, Selangor ketika pulang membuat persembahan di Kuala Ketil, Kedah.

Kemalangan itu turut mengorbankan anaknya Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun. Selepas 20 tahun berlalu, banyak nostalgia indah dalam memori Zaiton telah musnah.

Apabila ada orang kemukakan soalan adakah Zaiton gila, ini bermakna orang yang tanya soalan itu adalah sebahagian daripada orang gila.

Niezam: Gilakan laksa Johor Faridah Hitam.

Biarlah Bienda rahsiakan tarikh kahwin

“Kenapa Bienda rahsiakan tarikh kahwin Niezam, kenapa?” Begitulah persoalan daripada seorang peminat penyanyi putih melepak itu.

Niezam jelaskan kepada peminat itu, buat apa dia nak sibuk. Bienda nak sorok ke, nak buat gimik ke, itu semua bukan masalah negara. Tak menjejaskan duit dalam akaun bank pun.

Peminat tu beritahu Niezam, dia terkejut membaca mStar Online baru-baru ini yang melaporkan Bienda sudah mengedarkan kad perkahwinannya tanpa mahu memberitahu tarikh nikah. Sekadar majlis bersanding pada 8 Oktober depan.

Pada Niezam, seseorang artis itu mungkin ada sebab tersendiri kenapa dia hendak buat gimik semacam itu.

Gimik ataupun kejutan bukan sekadar pada tarikh nikah tetapi pada tarikh hari jadi pun orang selalu buat gimik. Sebagai contoh ada sesetengah artis kita yang dah tua kerepot pun masih mahu berahsia umur mereka.

Mereka takut dengan tarikh ataupun angka yang sentiasa berubah menjadikan mereka tua. Tua atau muda terletak pada hati dan cara kita menguruskan hidup.

Kalau kita mampu menguruskan hidup dengan baik, kita tetap akan nampak muda walaupun pada dasarnya kita sudah berusia.

Begitu juga dengan nikah kahwin. Apabila ada artis yang nak sorokkan tarikh kahwin atau kahwin sorok-sorok, itu semua benda yang tak elok.

Dalam kes Bienda ni mungkin dia ada sebab tertentu yang kita sendiri tidak boleh jangka. Tapi yang paling penting Bienda tidak ragu-ragu untuk memberitahu kepada umum yang dia akan menjadi isteri kepada jurukamera televisyen tidak lama lagi.

Walaupun ramai yang tertanya-tanya bilakah tarikh sebenar Bienda kahwin, cukuplah Niezam katakan yang Niezam sudah tahu tarikh yang Bienda cuba sembunyikan itu.

Tapi tak apalah... biarlah Bienda umumkan sendiri. Niezam tak mahu pecah rahsia. Cukuplah Niezam ucapkan selamat pengantin baru buat Bienda.

Niezam: Tiada rahsia antara kita, huhu...!

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Kelang.

Artikel Lain