suria

20 Pekerja Bangladesh Ditahan Imigresen

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan seorang majikan warga tempatan dan 20 pekerja Bangladesh yang bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani semalam atas kesalahan tidak memiliki dokumen yang sah dan menyalahguna pas yang dimiliki.

Pengarah Imigresen Kedah Muhammad Hatta Kassim berkata dalam operasi Ops Mahir bermula pukul 4.15 hingga 6 petang itu pihak Imigresen membuat pemeriksaan ke atas 96 pekerja asing lelaki berumur antara 20 dan 40 tahun dan daripada jumlah itu 18 orang didapati tidak mempunyai dokumen yang sah manakala dua lagi menyalahgunakan pas yang dimiliki.

Manakala, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 43 tahun yang merupakan majikan kepada pekerja tersebut turut ditahan kerana melindungi pekerja asing itu.

"Dalam operasi itu, seorang daripada warga asing yang bekerja di kilang itu memanjat pagar ke kilang sebelah dan dapat melarikan diri manakala dua orang yang cuba melarikan diri ke arah jalan raya dapat ditahan oleh anggota Imigresen yang membuat kawalan di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua tertuduh yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.

"Majikan itu telah dibebaskan dengan jaminan selepas disoalsiasat," katanya. Katanya mereka yang telah bekerja di kilang itu antara enam bulan dan setahun, kini ditahan di depot tahanan di Belantik, Sik. -BERNAMA

Artikel Lain