suria

Zambia Harapkan Bantuan Malaysia Dalam Bidang Pendidikan Awal

KUALA LUMPUR: Wanita Pertama Zambia Thandiwe Banda berharap Malaysia dapat bekerjasama dengan negara Afrika itu dalam membantu bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau berkata Zambia sebagai negara sedang membangun memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai sumber memandangkan ia tidak mampu mewujudkan pusat itu dalam jumlah yang banyak disebabkan sumber kewangan yang terhad.

"Saya pasti Malaysia sanggup bantu kami (Zambia)," katanya dalam satu persidangan akhbar di luar Sidang Kemuncak Wanita-wanita Pertama 2010 yang memasuki hari kedua, di Palace of the Golden Horses di sini Selasa.

Menurutnya pada masa yang sama beliau juga berharap untuk mendapat sokongan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membantu usaha mewujudkan lebih banyak pusat pembelajaran awal kanak-kanak.

"Sekiranya PBB dapat membantu, ia dapat memberikan kami kelebihan untuk menangani perkara ini," katanya.

Beliau berkata kebanyakan masalah yang dialami oleh negara-negara sedang membangun adalah berpunca daripada kelemahan dari segi pendidikan buat orang ramai, terutama di peringkat awal.

Katanya beliau juga akan membawa pulang idea serta isu-isu yang dibangkitkan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam ucaptamanya hari ini, untuk dikaji sekiranya ia dapat dilaksanakan di Zambia.

"Ia bukan bermakna yang saya dapat melakukan setiap apa yang diutarakannya (Rosmah). Cuma saya akan berusaha meneliti apa yang disarankan, dan melihat apa yang boleh dilaksanakan untuk memenuhi keperluan serta kehendak kami," katanya.

Rosmah dalam ucaptamanya antara lain berkata pendidikan, terutama di peringkat awal, merupakan alat paling penting dalam membentuk kanak-kanak menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, rakyat yang baik dan mewujudkan dunia yang lebih baik di masa hadapan.

Sidang Kemuncak dengan tema "Anak Hari ini, Pemimpin Hari Esok" itu disertai oleh 15 Wanita-wanita Pertama, di samping enam wakil Wanita Pertama dan 20 menteri.

Acara sulung Sidang Kemuncak Wanita-wanita Pertama 2010 yang merupakan hasil inisiatif Rosmah itu memberi tumpuan kepada cara di mana keluarga, komuniti dan kerajaan dapat bekerjasama dapat mengilap potensi setiap kanak-kanak. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan