KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat ke majlis Jamuan Makan Malam sempena Sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Jumaat.Ketibaan baginda berdua diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Majlis anjuran Parlimen Malaysia itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pembangkang yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail serta anggota dan mantan anggota Dewan Rakyat serta Dewan Negara.Majlis yang bermula kira-kira pukul 8.30 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Badan Kesenian Tentera Darat.Sementara itu, Pandikar Amin dalam ucapan alu-aluannya berkata kehadiran ramai mantan anggota Parlimen dari pihak kerajaan dan juga pembangkang membawa makna besar kerana mereka merupakan tokoh yang telah menyumbang kepada kejayaan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen di negara ini."Institusi Parlimen Malaysia mencapai usia 50 tahun pada September tahun lepas. Kita berbangga dengan khidmat cemerlang yang telah dimainkan oleh pemimpin-pemimpin negara dan wakil-wakil rakyat yang terdahulu dan pastinya sejarah merakam dan mengabdikan jasa bakti mereka."Tetapi pada hemat saya, tidak kurang pentingnya atau lebih penting lagi adalah peranan wakil rakyat yang akan diteruskan oleh ahli-ahli yang berhormat yang berkhidmat pada masa ini," katanya.Pandikar Amin berkata sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang didukung selama lima dekad ini harus dikekalkan kerana telah memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat."Marilah kita bertekad untuk terus mempertahankan institusi parlimen kita ini dengan cara yang telah terbukti kejayaannya agar ia terus memberi kesejahteraan kepada rakyat negara kita," katanya.Beliau juga menyeru wakil rakyat agar memastikan perbezaan pandangan mereka mengenai isu tertentu diguna untuk menyuburkan demokrasi selain melaksanakan tanggungjawab mereka dengan beretika. - BERNAMA