suria

197 Pekerja Kenmark Dibuang Kerja

PELABUHAN KLANG: Sejumlah 197 pekerja kilang perabot Kenmark Industries Sdn Bhd., (Kenmark) telah diberi notis pemberhentian kerja berkuatkuasa serta merta, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam hari ini berkata daripada jumlah pekerja itu, seramai 102 adalah warga Bangladesh manakala selebihnya rakyat Malaysia.

"Pekerja tersebut masih belum menerima gaji untuk bulan lepas," katanya, yang berada di kilang itu untuk membantu pekerja terbabit memfailkan tuntutan dengan Jabatan Tenaga Kerja.

Katanya jabatan itu harus mempercepatkan proses menempatkan semula pekerja di tempat lain khususnya pekerja tempatan.

Masalah kilang tersebut bermula pada 28 Mei lalu apabila kesemua 400 pekerja Kenmark tidak dapat meneruskan tugas selepas operasi kilang itu ditutup dan pemiliknya dipercayai pergi ke luar negara.

Beberapa hari selepas itu, kilang itu diambilalih oleh pengurusan baru dan pekerja tersebut diminta meneruskan semula tugas.

Minggu lepas, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan notis penggulungan terhadap syarikat itu berikutan tuntutan yang difailkan oleh Bank Export-Import. - BERNAMA

Artikel Lain