suria

Jabatan Insolvensi Lulus 76 Bakal Haji Ke Mekah Walaupun Bankrap

PETALING JAYA: Jabatan Insolvensi sehingga kini meluluskan sebanyak 76 permohonan daripada individu yang diisytiharkan muflis untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, mereka adalah di kalangan 12,126 individu yang diisytiharkan bankrap sejak Januari hingga Ogos lalu.

“Tahun lalu sebanyak 208 individu bankrap diluluskan permohonannya bagi tujuan sama.

“Walaupun individu yang diisytiharkan bankrap dikenakan senarai hitam, Jabatan Insolvensi masih membenarkan mereka untuk ke luar negara dengan alasan kukuh termasuk tujuan keagamaan seperti haji dan umrah,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Rombongan pertama lebih 1,100 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah suci Mekah awal pagi ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim kesal apabila jabatan itu dituduh tidak Islamik kononnya menyekat hasrat segelintir bakal jemaah haji di kalangan individu yang diisytiharkan bankrap untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata, Akta Kebankrapan 1967 mengenakan tindakan senarai hitam ke atas individu bankrap yang menyekat mereka daripada ke luar negara.

“Syarat wajib haji sendiri adalah kemampuan. Jika mereka berkemampuan, mereka sepatutnya bertanggungjawab melangsaikan hutang atau sekurang-kurangnya memberi kerjasama untuk menyelesaikan masalah kebankrapan.

“Pergi menunaikan haji sudah tentu memerlukan belanja, bukankah wang (perbelanjaan) itu sepatutnya melangsaikan dahulu apa yang tertunggak?

“Pun begitu, kami tidak zalim seperti yang disangka kerana masih mempunyai budi bicara atas dasar kemanusiaan. Si bankrap masih boleh mengerjakan haji sekiranya memberikan kerjasama.

Abdul Karim berkata, peluang masih terbuka untuk individu bankrap meneruskan hasrat mengerjakan haji.

“Jabatan Insolvensi sentiasa memberikan peluang asalkan mereka datang untuk berunding dengan kami bagi urusan kebankrapan dan permohonan ke luar negara.

“Tiada larangan untuk mereka ke luar negara bagi mengerjakan haji, tapi bertanggungjawablah ke atas hutang yang ada,” katanya.

Tambahnya, segelintir individu didapati membuat permohonan untuk mengerjakan haji secara senyap-senyap dan hanya mempersalahkan jabatan itu apabila berlaku masalah pengurusan jemaah pada saat akhir akibat nama disenaraihitamkan.

“Mereka tahu telah diisytiharkan bankrap, mereka sedar tidak pernah bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi dan mereka juga tahu tentang syarat kebankrapan akan dikenakan senarai hitam iaitu sekatan ke luar negara, tetapi tidak diambil peduli.

“Jika mereka memberikan kerjasama, sudah tentu kita akan mempertimbangkan permohonan ke luar negara untuk mengerjakan haji,” katanya lagi.

Orang ramai dinasihatkan supaya memeriksa status kebankrapan di laman web Jabatan Insolvensi, www.insolvensi.gov.my atau cawangan Jabatan seluruh negara.

Peringatan itu diutamakan untuk individu yang berhutang atau menjadi penjamin ke atas pinjaman orang lain atau gagal membayar hutang dalam beberapa tempoh.

Selain tidak memberikan kerjasama dalam urusan pembayaran, permohonan turut ditolak oleh Ketua Pengarah Insolvensi kerana kegagalan menfailkan pernyataan hal ehwal dan penyerahan penyata pendapatan serta perbelanjaan tidak teratur.

Artikel Lain