LUMUT: Lapan belas nelayan asing ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan Pulau Jarak, Jumaat.Kesemua rakyat Indonesia yang menggunakan dua bot jaring itu ditahan pada pukul 11 pagi dan 12 tengah hari oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menangkap ikan dalam perairan negara. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 (DM 3) Kpt Maritim Ang Cheng Hwa berkata dalam kejadian pertama, sebuah bot dengan sembilan nelayan berumur antara 19 dan 40 tahun ditahan kira-kira 35 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak."Ketika menghampiri bot yang berpangkalan di Tanjung Balai, Sumatera itu, nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan menggunakan peralatan jaring," katanya kepada pemberita di pejabat APMM DM 3 di sini, Sabtu.Beliau berkata sejam selepas itu, sebuah lagi bot dikesan pada kedudukan 36 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak. Bot KM Mitra Jaya yang berpangkalan di Tanjung Balai itu dinaiki sembilan nelayan Indonesia berumur antara 18 dan 53 tahun, katanya.Ang berkata dua tekong dan 16 orang awak-awak kedua-dua bot terbabit ditahan selepas gagal menunjukkan permit menangkap ikan yang sah di bawah Seksyen 15 Akta Perikanan 1985.-BERNAMA