suria

Wartawan Antara 15 Terbunuh Dalam Bencana Letupan Gunung Merapi

YOGYAKARTA: Seorang wartawan portal berita vivanews.com adalah antara 15 yang ditemui mati di dalam dan sekitar halaman rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan di kaki gunung itu yang meletus petang Selasa.

Mayat wartawan itu ditemui dalam rumah Mbah Maridjan bersama tiga yang lain manakala mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu di daerah Sleman apabila pasukan penyelamat sampai ke situ pukul 10 malam Selasa.

Kesemua mereka ditemui dalam keadaan sukar dikenali kerana melecur seluruh tubuh akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu apabila gunung berapi teraktif di dunia itu meletus pada Selasa.

Sebagai jurukunci gunung itu, Mbah Maridjan, ialah seorang warga emas yang kontroversial kerana enggan meninggalkan rumahnya, yang merupakan rumah terakhir sebelum ke puncak gunung berapi itu semasa letusan Merapi pada 2006 tetapi terselamat dalam bencana itu.

Bagaimanapun, nasib Mbah Maridjan belum diketahui, sama ada terselamat atau terkorban dalam insiden berkenaan.

Pada Selasa seorang bayi turut mati akibat letusan gunung berapi itu kerana kesan lecur.

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren (institusi agama) di Magelang, 15 km dari gunung berapi itu beserta 10 yang lain telah dipindahkan oleh para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ke Solo tengah malam Selasa.

Kesemua mereka dibawa dengan dua buah bas dan sebuah kenderaan APV termasuklah dua warganegara Singapura, 3 wanita isteri kepada pelajar dan dua bayi perempuan.

Misi pemindahan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dengan dibantu pegawai-pegawai kedutaan serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia.

Sementara itu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah membuka Bilik Operasi 24 jam mulai malam tadi bagi menyalurkan maklumat terkini dan melayan pertanyaan rakyat Malaysia di Malaysia mengenai letusan Gunung Merapi.

Ketua Canseri Raja Reza Raja Zaib Shah berkata bilik gerakan itu memantau perkembangan terkini kejadian bencana itu. Talian Bilik Operasi itu adalah seperti berikut: No. Telefon : 62-21-5224947 (talian am) No. Telefon : 62-21-5224971 (talian terus) No. Faks :62-21-5224974 - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan