suria

Siaran Ujian TV-Al Hijrah Telah Bermula

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen baru bercorak Islam, TV- Al Hijrah, memulakan siaran ujian bermula pukul 3 petang Isnin hingga 12 tengah malam.

Frekuensi siaran TV-Al Hijrah boleh dinikmati menerusi lima pemancar iaitu di Lembah Klang CH 55 dengan frekuensi UHF 743.25 MHZ, Pantai Timur CH 41 dengan frekuensi UHF 631.25 MHZ, Johor CH 40 (UHF 623.25 MHZ), Sarawak CH 37 (UHF 599.25 MHZ) dan Sabah CH 37 (UHF 599.25 MHZ).

Televisyen siaran percuma terbaru negara yang bertemakan "Segalanya Bermula di Sini" boleh ditonton bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam pada hari Isnin hingga Khamis manakala pada hari Jumaat hingga Ahad, siaran akan dimulakan lebih awal bermula pukul 12 tengah hari dan tamat pada 12 tengah malam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom melancarkan siaran ujian hari pertama TV-Al Hijrah di Kompleks Pusat Islam di sini Isnin.

Beliau berkata adalah sesuatu yang membanggakan kerana TV-Al Hijrah dapat disiarkan lebih awal memandangkan kerja-kerja pembinaan stesen televisyen baru mengambil masa yang lama.

"Kerja-kerja pembinaan pusat penyiaran digital TV-AL Hijrah mengambil masa empat bulan sahaja. Ini amat membanggakan kerana secara amnya stesen TV saiz sebegini mengambil masa sembilan hingga 15 bulan untuk disiapkan dan lagi tiga hingga enam bulan bagi melatih kakitangan mereka," katanya pada sidang media selepas melancarkan siaran ujian itu.

Berdasarkan lima kawasan yang diliputi, siaran TV-Al Hijrah boleh diterima oleh 46 peratus penonton di negara ini.

Katanya TV-Al Hijrah masih dalam rundingan dengan Astro untuk memberikan siaran di televisyen berbayar itu.

Sepanjang tempoh percubaan siaran TV-Al Hijrah pada November ini, penonton akan disajikan dengan pelbagai rancangan pembikinan atau "the making of" program-program TV-Al Hijrah yang akan disiarkan sepenuhnya pada Disember kelak.

Antaranya, rancangan Kenduri Kendara, Menu Alam, Nak Ke Mana Tu, Ketika Cinta Bertasbih, Misteri Alam Melayu, Nota Al Zahra dan Sinar Baru selain turut mengetengahkan terbitan secara penuh dalam siaran percubaan ini.

Selain itu, rancangan Kapsul Khas "Laporan Haji" yang merupakan siaran pertama di Malaysia, membawa laporan dari Tanah Suci turut di siarkan setiap hari.

Pihak TV-Al Hijrah juga turut menyiarkan beberapa rancangan utama sepenuhnya walaupun masih di peringkat percubaan siaran antaranya sebuah rancangan bual bicara antarabangsa dikenali sebagai The Dr. Oz Show.

Untuk maklumat lanjut berkenaan program-program yang disiarkan di TV-Al Hijrah penonton boleh melayari portal rasmi www.tvalhijrah.com. - BERNAMA

Artikel Lain