suria

Ahmad Husni Ketuai Delegasi Ke Persidangan Menteri-Menteri Kewangan APEC Ke-17

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Kewangan APEC ke-17 di Kyoto, Jepun, selama dua hari bermula 6 November.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan di sini, Khamis, antara agenda utama persidangan itu adalah tiga sesi Plenari yang akan membincangkan prospek ekonomi rantau Asia Pasifik, pembiayaan bagi pertumbuhan dan pengurusan fiskal.

Ahmad Husni juga akan berucap pada sesi Plenari Kedua, yang bertemakan "Finance for Economic Growth".

"Penglibatan Ahmad Husni pada sesi tersebut merupakan satu kesinambungan kepada kedudukan Malaysia yang telah menjadi hos kepada mesyuarat tahunan dan persidangan yang bertajuk Institusi Kewangan APEC dan Industri Kecil dan Sederhana (SME) ke-7 pada 15-16 Julai lalu di Kuala Lumpur," demikian menurut kenyataan itu.

Dalam ucapannya, beliau antara lain akan menyentuh mengenai pengalaman Malaysia dalam membantu mempermudahkan akses kewangan untuk SME.

Selain itu, persidangan Menteri-Menteri Kewangan ASEAN akan mengadakan Mesyuarat Tidak Rasmi (IAFMM) bagi membincangkan pandangan ASEAN menjelang Sidang Kemuncak G20 yang bakal berlangsung di Seoul, Korea pada 11-12 November.

"Pada mesyuarat IAFMM itu, Ahmad Husni akan melaporkan perkembangan terkini usaha penubuhan Tabung Infrastruktur Asean (AIF).

"Kementerian Kewangan Malaysia kini menerajui usaha bersama negara-negara ASEAN dan Bank Pembangunan Asia dalam memuktamadkan penubuhan AIF untuk membiayai projek-projek infrastruktur di negara-negara ASEAN," kata kenyataan itu.

Ahmad Husni juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan beberapa negara termasuk dari Australia dan Jepun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain