suria

Calon Timbalan Presiden PKR Serah Memorandum Desak Henti Pemilihan Parti

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub akan menyerahkan memorandum bagi mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) agar menghentikan pemilihan parti dalam tempoh 48 Jam.

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, memorandum akan diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah.

“Pemilihan kepimpinan pusat PKR sedang berlangsung pada 28 Oktober lalu sehingga kini terdapat 162 aduan terhadap kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.

“Hari ini saya dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan semua pemilihan dan perjalanan semula kepimpinan parti 2010,” katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Mustaffa berkata, antara kandungan dalam memorandum adalah persoalan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan perlembangan parti dalam kongres khas pada Jun tahun lalu.

Katanya, kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil.

“Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan antaranya berkenaan dengan tindakan ahli JPP dan pengawas pemilihan yang bertindak berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi.

“Kami juga mendesak agar JPP memberhentikan pemilihan parti dalam tempoh 48 jam selepas menerima memorandum ini. Jika tidak, kami akan mengambil tindakan lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan,” katanya lagi.

Beliau percaya calon-calon yang bertanding bersedia untuk membuktikan PKR sebagai sebuah parti yang bersih, berintegriti dan demokratik untuk rakyat.

“Kita anggap perkara ini penting bagi memberikan keadilan kepada kepimpinan yang menawarkan khidmat dalam pemilihan parti 2010,” katanya.

Antara ketirisan dan salah laku dalam proses pemilihan PKR adalah kelewatan membuka pusat mengundi dan segelintir anggota JPP tidak bersikap berkecuali termasuk penipuan semasa proses undi.

Perkara itu hanya sebahagian daripadanya dan banyak lagi aduan dan kejadian yang telah dilaporkan oleh beberapa pihak kepada JPP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain