suria

Berkorban Pada Yang Perlu...

BERAYA di rantau bukanlah sesuatu yang asing bagi diri penulis. Suasana raya berjauhan begini lebih mengamit perasaan betapa pentingnya ikatan ukhuwah serta ikatan kekeluargaan yang jitu.

Apatah lagi jika terbayang akan juadah yang terhidang di meja makan di rumah sanak saudara, betapa rindunya untuk kembali ke tanah air kita Malaysia.

Episod raya korban kali ini bermula dengan kekecohan pendapat tentang permulaan hari raya haji. Pertelingkahan yang wujud antara Majlis Agama Islam Victoria (Islamic council of Victoria, ICV) dengan lembaga melihat anak bulan.

Lembaga melihat anak bulan yang terletak di Sydney, di bawah bidang kuasa Mufti, telah mengumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan pada tanggal 6 November dengan itu, raya haji ditetapkan jatuh pada hari Rabu 17 November.

Kenyataan ini menjadi hangat apabila kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari ukuf jatuh pada hari Isnin, 15 November dan raya korban pada hari Selasa.

Ketetapan ini menjadi perdebatan apabila Jawatankuasa Imam (Board of Imams) seluruh Victoria menyertai bantahan yang dibuat oleh ICV dan mengumumkan bahawa mereka bersetuju dengan Kerajaan Arab Saudi untuk meraikan Hari Raya Adil Adha pada hari Selasa.

Walaupun antara tugas utama saya di sini, fellow kanan National Centre of Excellence in Islamic Studies, ialah sebagai pakar rujuk dalam hal ehwal Islam terutamanya dari perspektif akademik namun, kadang-kadang terasa pandangan saya hanya sekadar pendapat peribadi, jarang sekali yang diambil kira pertimbangannya oleh persatuan-persatuan agama yang bergerak aktif di Australia.

Isu bekenaan dengan ketidak sepakatan umat Islam, bukanlah isu baru, perkara sebegini sudah lama berlaku. Namun berapa ramai di antara kita sanggup menggalah, menggadai prinsip semata-mata untuk menyelamatkan umat dari terus berpecah-belah?

Raya korban ialah hari di mana umat islam digesa melakukan korban sembelihan binatang tertentu. Konsep korban ialah untuk mengorbankan sesuatu harta yang kita sayangi untuk diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Bagi pengikut Mazhab Hanafi, ibadah ini menjadi sesuatu yang wajib bagi setiap individu, pandangan yang ringan dari kalangan mereka ialah setiap satu isi rumah satu korban.

Namun, bagi Mazhab Shafie, sekadar mengatakan ianya harus, iaitu hanya pada mereka yang mampu melaksanakannya. Pokok persoalan yang timbul ialah kepada siapa daging korban patut ataupun boleh diagih-agihkan.

Sudah menjadi satu tradisi bagi masyarakat muslim Australia untuk membuat majlis BBQ selepas ibadah korban dilaksanakan. Sifat ingin merapatkan saf ukhuwah menerusi aktiviti ini amatlah dipuji, mungkin ketika ini masyarakat dapat berkumpul, bermaaf-maafan dan meraikan hari raya sambil menikmati daging korban yang dibakar enak.

Ada pula pandangan, terutama pada pendokong Mazhab Maliki dan Hambali, mengatakan daging korban boleh diberikan kepada bukan Islam, atas dasar menunjukkan bahawa agama Islam, merupakan agama yang mesra dengan lain-lain agama.

Ironinya, bagi saya, perkara sebegini berlawanan dengan “gist” utama korban yang sering dilupakan, iaitu, membantu meringinkan kesusahan orang lain menerusi kelebihan yang kita perolehi. Di mana kita sering alpa, bahawa daging korban yang kita laksanakan perlulah diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan, bukan sekadar untuk beramah mesra sesama masyarakat.

Bagi yang senang, haruslah melihat mereka yang susah, bantulah mereka, bukan sekadar menjayakan sesuatu ibadah untuk keseronokan mereka yang sudah senang. Walaupun pandangan saya ini akan disanggah, namun, fikirkanlah pula, berapa ramai manusia miskin mahupun fakir yang dapat kita bantu dari ibadah korban.

Berapa ramai di antara kita yang sukar merasai nikmat rasa secebis daging yang menjadi sumber protein utama, berapa ramai lagi di luar sana yang sentiasa kelaparan, bayangkan sekilo daging korban yang diberikan dapat menyelesaikan masalah mereka mungkin paling tidak untuk tempoh seminggu lamanya.

Ini yang dimaksudkan dengan persaudaraan. Persaudaraan yang sebenar adalah persaudaraan yang muncul walupun kita tidak pernah bersua apatah lagi mengetahui nama mereka. Bukan persaudaraan di antara mereka yang kita kenal semata-mata. Inilah konsep sebenar korban yang dipinta.

Apapun pandangan yang diberikan, adalah tidak salah. Kerana agama Islam merupakan agama yang tidak menyusahkan, yang penting, sifat sayangkan harta terkikis. Harta yang diberikan oleh Ilahi hanya untuk sementara dan diduga sejauh manakah mereka dapat mengawal nafsunya.

Walaupun terdapat perselisihan pandangan antara kita, namun yang penting ialah penyatuan dalam perbezaan. Ibadah korban adalah antara mekanisma penyatuan tersebut. Janganlah disebabkan perbezaan yang sekecil ini menjadikan ibadah kita menjadi satu bebanan dosa.

Selamat Hari Raya Adil Adha.

Penulis merupakan Honorary Fellow di University of Melbourne dan boleh dihubungi menerusi [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain