suria

Aidiladha Disambut Dengan Kesyukuran Walaupun Beberapa Negeri Banjir

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana tetapi penuh kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan.

Sambutan diadakan ketika ada yang menghadapi pelbagai dugaan dan bencana, terutamanya di utara tanah air apabila beribu-ribu penduduk di Kedah dan Perlis terjejas akibat banjir sejak beberapa minggu lepas.

Banjir mengakibatkan lebih 77,000 orang daripada lebih 17,000 keluarga terjejas, namun kesemua mangsa bernasib baik kerana tidak perlu menyambut hari raya di pusat pemindahan mangsa banjir setelah keadaan kembali pulih beberapa hari lepas.

Sambutan Aidiladha dimulakan sejak awal pagi dengan umat Islam memenuhi masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.

Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. dalam mentaati perintah Allah S.W.T.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. ini merupakan tanda kebesaran Allah dan kekuatan iman kedua-dua Nabi Allah dalam mentaati suruhanNya.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. yang diperintah Allah S.W.T. agar menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah S.W.T. dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Mengambil keberkatan sambutan Hari Raya Korban, masyarakat Islam tidak lupa untuk menunaikan ibadah korban apabila beratus-ratus ekor lembu, kerbau dan kambing dikorbankan di masjid-masjid, surau-surau, kampung-kampung dan juga taman-taman perumahan yang terletak di kawasan bandar.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 3,000 umat Islam di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan.

Upacara korban turut dilakukan di masjid dan surau seluruh negeri itu termasuk 659 ekor lembu yang disumbangkan oleh 20 syarikat swasta untuk diagih-agihkan kepada 14 bahagian Umno di Pahang dan 55 buah masjid di kawasan Parlimen Pekan.

Majlis penyampaian sumbangan lembu-lembu korban itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, semalam.

Di KANGAR, hari raya Aidiladha disambut sederhana berikutan masih banyak umat Islam yang dalam suasana membersih rumah selepas dilanda banjir.

Bagaimanapun ibadah korban tetap berlangsung seperti biasa di beberapa kawasan selepas solat sunat Aidiladha.

Di Kampung Katong, Pauh dekat sini, sekumpulan wartawan Perlis turut mengadakan ibadah korban dengan menyembelih seekor lembu selepas solat Aidiladha yang kemudiannya dikendurikan di kampung itu.

Semalam kerajaan negeri Perlis mengagihkan kira-kira 100 ekor lembu untuk dikorbankan di seluruh negeri.

Di ALOR SETAR, perayaan Aidiladha disambut sederhana di Kedah apabila lebih 60,000 penduduk di negeri ini terbabit banjir yang disifatkan sebagai terburuk awal bulan ini dan mengakibatkan kerosakan harta benda yang sangat serius.

Bagi Hashim Ahmad, 60, dari Taman Kepala Batas di sini, dia tidak menyediakan sebarang persiapan bagi menyambut Aidiladha kali ini kerana kerja-kerja pembersihan rumah masih belum siap sepenuhnya.

"Cukuplah sekadar menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan menyediakan sedikit juadah ringkas. Lagipun selepas banjir ini saya tidak berapa sihat kerana mengalami gout," katanya.

Ummi Kalsom Long, 59, pula berkata selepas menunaikan solat sunat Aidiladha hari ini, dia akan pulang ke kampungnya di Padang Perahu di Jitra kerana tiada sebarang persiapan dilakukan di rumahnya.

Menurut Ummi Kalsom, rumahnya yang juga di Taman Kepala Batas di sini dinaiki air lebih satu meter dan kebanyakan perabot rosak akibat dilanda banjir yang tidak diduga seteruk itu.

Beberapa daerah di Kedah terjejas teruk akibat dilanda banjir iaitu di Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang.

Kira-kira 60,240 penduduk menjadi mangsa banjir yang disifatkan sebagai yang terburuk melanda negeri ini pada awal bulan ini.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini bersama lebih 10,000 rakyat.

Turut serta Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa exco kerajaan negeri.

Sebanyak 29 ekor lembu disumbangkan bagi menyempurnakan ibadah korban termasuk daripada Sultan Selangor dan kerajaan negeri.

Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini turut menjalankan ibadah korban membabitkan enam ekor lembu.

Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd (PLSASB) juga menjalankan ibadah yang sama di Surau An Nur, Taman Sri Lembayung, Seksyen 25 di sini membabitkan empat ekor lembu untuk disumbangkan kepada penduduk berhampiran.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama ratusan umat Islam di Masjid Tun Ahmadshah Kampung Inanam Laut, dekat sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pula menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Kampung Tinusa Dua, Sandakan, dan kemudian menghadiri majlis kesyukuran anjuran Barisan Nasional kawasan Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan.

Di KOTA BAHARU, cuaca cerah menceriakan lagi sambutan Aidiladha yang disambut penuh meriah di negeri ini yang turut menyaksikan umat Islam melakukan ibadah korban.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra menunaikan solat Aidiladha di Masjid Muhammadi di sini sebelum bertemu rakyat di majlis penghadapan yang diadakan di Istana Balai Besar yang terletak bersebelahan masjid itu.

Esok, Tengku Mahkota Kelantan akan mengadakan majlis korban di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji pada pukul 10.30 pagi.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke-V kini berada di Mekah untuk menunaikan fardu haji bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Artikel Sebelum

Zaid Kembali Adakan Sidang Media

Artikel Berikut

Artikel Lain