suria

Agenda Cegah Jenayah Serantau Jauh Lebih Besar Daripada Agenda Ketua Pembangkang

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan agenda keselamatan serantau yang dibawa Malaysia adalah jauh lebih besar jika dibandingkan agenda yang cuba dibawa oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia.

Melihat dari sudut kementeriannya, Hishammuddin berkata enam mesyuarat jawatankuasa kerja berhubung kait dengan pemerdagangan manusia telah diadakan dan dua jawatankuasa kerja yang berbeza berkaitan keganasan juga telah diadakan dengan negara itu.

Beliau difahamkan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard “tanpa segan silu” mengucapkan terima kasih ketika membuat kunjungan ke Malaysia baru-baru ini berikutan usaha Malaysia mengekang aktiviti jenayah yang dikira boleh menjejaskan keselamatan negaranya sebagai negara destinasi bagi jenayah itu.

"Kita telah diiktiraf atas keseluruhan usaha kita dan mereka ingin melihat agenda lebih besar," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Duta Tugas-tugas Khas Amerika Syarikat berkaitan Pemerdagangan Manusia, Luis CdeBaca di sini Khamis.

"Apa yang dibangkitkan Anwar Ibrahim di Australia kalau mahu dibandingkan dengan agenda yang kita bincangkan, orang boleh nilai sendiri sama ada ia berkepentingan diri, ia satu pertimbangan politik, atau ia pemikiran sempit," kata Hishammuddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar yang dipetik akhbar Sydney Morning Post sebagai berkata kematian bekas setiausaha politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock adalah 'kes pembunuhan yang tidak terjawab'.

"Mahu burukkan negara sendiri boleh tetapi apa yang dia sudah buat untuk perbaiki dan perkukuhkannya. Saya lebih berminat untuk melihat ke hadapan, membina sesuatu yang akhirnya akan menentukan survival, kedudukan, keharmonian dan keselamatan serantau."

"Kalau diminta pilih, saya percaya pucuk pimpinan Australia pun akan pilih agenda yang lebih besar. Dia boleh cakap apa dia mahu tetapi realitinya yang di bawah yang buat kerja, yang mengukuh perhubungan dengan negara luar yang boleh membawa manfaat kepada rantau," kata Menteri Dalam Negeri itu.

Beliau yakin Anwar menemui laluan sukar meraih sokongan dari negara kangaroo itu berikutan hubungan yang rapat yang telah dibina berasaskan kepada agenda yang lebih besar itu.

Ditanya sama ada Anwar berada dalam keadaan tersepit, Hishammuddin berkata, "Kalau tidak, tidak mungkin dia ke sana. Bukan saja tersepit tetapi mungkin mahu alih pandangan bagi masalah yang dihadapi dalam partinya sendiri. Itu selalu modus operandi beliau."

"Kalau itu tak menggambarkan seseorang yang terdesak saya tak taulah apa tujuan dan matlamat memburuk-burukkan negaranya sendiri,” tegas Hishammuddin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain